Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 27 Februari 2013

Menu Lima Bintang Gerai Tepi Jalan



SUASANA Jalan Damanlela, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada waktu malam sepi tanpa deruman enjin kenderaan. 
Pada waktu siang, jalan itu sibuk kerana menjadi laluan utama bagi penjawat awam dan swasta yang bekerja di bangunan-bangunan pejabat sekitar jalan tersebut. 
Waktu malam pula, penduduk yang tinggal di kawasan apartmen berhampiran jalan itu lebih tertumpu di beberapa kawasan seperti di restoran McDonald's, kedai runcit 24 jam dan beberapa restoran mamak. 
Begitupun, di satu sudut jalan tersebut terdapat sebuah gerai yang menjadi tumpuan orang ramai. Bukan struktur gerai mudah alih konvensional, ia sebaliknya merupakan sebuah lori kecil yang diubah suai. 
Kelompok pelanggan yang memeriahkan suasana di situ boleh memilih sama ada untuk memesan makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang mahu pun menikmatinya terus di meja makan yang disediakan. 
"Ini kali pertama saya ke tempat makan yang menghidangkan menu ala Barat yang dijual di atas lori dan senario ini amat unik," ujar Nur Aina Omar, 25. 
Aina dan rakannya, Sheila Shareena Mohamed Hamidi merupakan penggemar menu hidangan ala Barat seperti spageti, piza, burger, bebola daging dan lasagna. 
"Saya tidak sangka akan menemui spageti yang dijual pada harga RM5 di Kuala Lumpur ini. Namun, Humble Chef telah menyangkal persepsi saya itu," jelasnya. 
Kunjungan kali pertama Nur Aina dan Sheila dari Puchong ke lori Humble Chef yang terletak di Jalan Damanlela baru-baru ini ternyata berbaloi kerana makanan yang disediakan menepati cita rasa mereka.
Walaupun dengan sebuah lori kecil, Humble Chef menjadi tarikan orang ramai. Foto: Kosmo!
Tambah penjawat dalam sektor swasta itu, dia menggemari tempat makan seperti Humble Chef kerana mempunyai ciri-ciri santai dan ringkas walaupun tempat makan itu terletak di tepi jalan. 
Sejak kira-kira empat tahun lalu, Humble Chef sudah dikenali sebagai gerai yang menggunakan lori kecil untuk menghidangkan makanan Barat ringkas seperti spageti, roti pita dan telur dadar (omelette). 
Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Humble Chef, pasti berpuas hati dengan harga serta kualiti makanan yang ditawarkan oleh jenama tersebut. 
Pemilik Humble Chef, Rosman Hussin Rizal, 30 memberitahu, idea untuk menghasilkan makanan ala Barat yang dijual dengan lori itu timbul empat tahun lalu. 
Ketika itu, lokasi pertama untuk mengenengahkan ideanya itu ialah di hadapan Masjid Wilayah yang terletak di Jalan Duta. 
"Dengan hanya dua menu utama iaitu spageti bolognese ayam dan daging, saya nekad untuk menjalankan perniagaan saya sendiri dengan sedikit bantuan kewangan daripada ibu. 
"Pada waktu itu, saya berniaga pada setiap waktu tengah hari. Saya yang mengambil pesanan dan saya juga yang akan memasak setiap hidangan. 
Hari Jumaat merupakan hari yang paling mendapat sambutan. Kebanyakan yang datang ke lori saya ketika itu merupakan penjawat awam yang dalam tempoh percubaan untuk diet," ujar graduan Diploma Seni Kulinari, Kolej Legend, Kuala Lumpur itu. 
Dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dan hanya berharap mendapat pulangan harian sebanyak RM100 termasuk keuntungan dan modal. 
Menurutnya, setelah beberapa bulan berniaga, dia mengambil keputusan untuk mengubah lokasi perniagaannya itu ke Jalan Damanlela kerana menyukai panorama malam di sekitar jalan tersebut. 
"Sebagai seorang bekas pelajar seni kulinari, saya tahu mengenai pasaran makanan di Malaysia. Rakyat negara ini menyukai makanan yang murah dan hidangannya pula ringkas. 
"Ketika mula berpindah, saya dan seorang rakan tidak memperoleh banyak pelanggan. Rata-ratanya yang datang untuk bungkus makanan untuk dibawa pulang.
Rosman (kanan) turut membantu Mokhtar dalam penyediaan hidangan ala Barat di restorannya.
"Namun, selepas masakan Humble Chef telah diulas baik oleh sebuah laman blog terkenal iaitu Bangsar Babe, pelanggan kami semakin bertambah. Daripada tiada kerusi dan meja untuk pelanggan, kami akhirnya menambah kelengkapan tersebut sedikit demi sedikit," ujar anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu. 
Ketika ditanya mengenai penggunaan jenama Humble Chef, Rosman memberitahu, idea tersebut datang daripada bapanya yang merujuk kepada sikapnya yang suka merendah diri. 
Selain daripada berniaga dengan lori, Rosman telah mengembangkan perniagaannya dengan membuka restoran yang terletak di Jalan Medan Setia 2, Plaza Damansara sejak setahun lalu. 
Walaupun telah membuka restoran, Rosman masih mengekalkan menu, kualiti dan yang paling penting, harga yang sama seperti yang dijual di lori. 
"Setiap resipi yang disediakan untuk pelanggan merupakan resipi rahsia yang dicipta sendiri oleh saya. Penyediaan hidangan tidak menggunakan bahan pengawet dan terjamin halal dan bersih. 
"Saya amat mementingkan keaslian sesuatu makanan. Setiap restoran perlu ada signatur tersendiri untuk menarik pelanggan tidak kira menjual makanan tradisional atau masakan Barat," ujarnya mengenai menu di gerainya yang turut menjadi pilihan ramai selebriti tanah air. 
Sementara itu, sahabat Rosman yang bertindak selaku tukang masak di restoran Humble Chef, Mokhtar Hashim, 30, memberitahu, dia berasa gembira apabila melihat pinggan kosong dipulangkan ke dapur selepas pelanggan menjamu selera. 
"Bagi saya, apabila pelanggan menghabiskan makanan, mereka suka akan hidangan itu. Itu juga merupakan salah satu motivasi kepada saya untuk terus menghasilkan hidangan terbaik kepada mereka," ujarnya.
Suasana restoran Humble Chef semakin meriah dengan kehadiran pelanggan apabila menjelang waktu makan tengah hari.
Mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan Rosman adalah apabila seorang pengkritik masakan dari Singapura pernah berkunjung ke restorannya dan memuji masakan Humble Chef. 
"Saya tidak tahu bahawa dia merupakan pengkritik masakan. Usai dia menghabiskan makanan, dia mengatakan makanan ala Barat di restoran ini ringkas dan sedap," ujarnya. 
Rosman memberitahu, tukang masak di restoran mahupun di lori Humble Chef mampu menyiapkan hidangan spageti dalam masa satu minit. 
Selain menggunakan Facebook dan Twitter sebagai strategi pemasaran Humble Chef, Rosman juga percaya bahawa percakapan dari mulut ke mulut yang dibawa oleh pelanggan merupakan strategi pemasaran terbaik. 

"Kebanyakan pelanggan setia Humble Chef merupakan pelanggan yang mendengar buah mulut rakan-rakan mereka yang pernah ke lori saya. Dengan itu, secara tidak langsung nama Humble Chef tersebar kepada pelanggan baharu," ujarnya. 

Menurut Rosman, dia kini sedang merancang untuk membuka cawangan restoran Humble Chef di Shah Alam. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.