Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 21 Februari 2013

Pengawal Cuai: RM2.2 Juta Dirompak


Van syarikat keselamatan yang digunakan untuk membawa wang tunai RM2.2 juta. Foto: Berita Harian

Makanan yang dibeli untuk sarapan pengawal keselamatan berselerak dalam van. Foto: myMetro


PETALING JAYA – Tiga perompak bersenjatakan alat renjatan elektrik mengambil kesempatan melarikan RM2.2 juta daripada sebuah van keselamatan ketika tiga pengawal keselamatan syarikat itu singgah di sebuah medan selera semalam. 
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian pada pukul 10 pagi di hadapan sebuah medan selera di Jalan 51A/227 menghala ke Jalan 222 di sini itu berlaku ketika van itu dalam perjalanan untuk menghantar wang ke sebuah bank di ibu negara. 
“Di pertengahan jalan, mereka telah singgah di sebuah medan selera. Dua pengawal kemudian pergi membeli makanan manakala pemandu van tersebut menunggu di luar kenderaan itu. 
“Tidak lama kemudian, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan alat renjatan elektrik menyerang dan menumbuk muka pemandu van berkenaan sebelum mereka merampas beberapa karung wang di dalam van lalu melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard berwarna putih,” katanya sambil memberitahu mangsa cedera ringan. - Kosmo


Berita 22.2.2013


Polis Tahan Pengawal Keselamatan Untuk Siasat Kes Samun 

ACP Arjunaidi Mohamed. Foto: metro-online


KUALA LUMPUR: Polis hari ini menahan tiga pekerja syarikat keselamatan yang mengendalikan van membawa wang tunai RM2.2 juta yang disamun tiga lelaki, di Petaling Jaya, semalam. 
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga pekerja syarikat berkenaan ditahan untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti tiga suspek yang melarikan wang tunai itu. 
"Siasatan awal kita mendapati, semasa kejadian tiga pekerja tersebut dalam perjalanan menghantar wang tunai berkenaan ke sebuah bank di ibu negara, namun mereka telah singgah di medan selera untuk membeli makanan sebelum didatangi tiga lelaki yang mengacukan sepucuk pistol serta alat renjatan elektrik kepada pemandu van keselamatan itu," katanya kepada Bernama. 
Beliau berkata pemandu van itu turut mendakwa telah ditumbuk di bahagian muka oleh salah seorang suspek sebelum penyamun itu melarikan diri bersama wang tunai menggunakan sebuah MPV. 
Dalam kejadian pada 10 pagi semalam, di Jalan 51A/227 menghala ke Jalan 222, Petaling Jaya, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan alat renjatan elektrik dan pistol telah menyamun van keselamatan yang dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di ibu negara. 
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera memaklumkan kepada polis di balai berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.