Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 15 Februari 2013

Sekitar Meteor Jatuh Di Rusia

Meteor bergerak selaju 30km sesaat

Meteor kelihatan bercahaya terang

Serpihan meteor jatuh berserakan di kawasan bandar Chelyabinsk, 900 batu ke timur Moskow

Atap bangunan kilang rosak teruk

Bangunan sekolah turut mengalami kerosakan

Penduduk setempat mengatakan letupan meteor yang terhempas mengakibatkan kerosakan dinding konkrit dan tingkap kaca

Keadaan di sebuah bilik darjah

Beginilah keadaan bangunan di bandar Chelyabinsk

Lelaki tua ini cedera di dahi dan mata

Wanita ini pula cedera di muka

Manakala wanita tua ini cedera di kaki

Penduduk tempatan terkejut melihat meteor di udara

Lokasi meteor jatuh. Grafik: Sinar Harian

[DIKEMAS KINI] MOSCOW - Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 1,000 orang Di Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan. 
Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang pecah. 
Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi. 
Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan. 
Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk. 
Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah berbanding daerah Ural. 
Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan. 
“Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai dan kediaman,” katanya. 
Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa. 
Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan. 
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan lebih 1,000 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak. 
Angka awal menyebut hanya sekitar 300 orang cedera. 
Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius. 
Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi. 
“Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis sekitar bandar ini,” katanya. 
Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi. 
Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini. 
“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya. 
Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island. 
Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang. - Sinar Harian


Dari Berita Harian


Tahi Bintang Selaju 54,000 KM Sejam Meletup Di Udara

Serpihan tahi bintang jatuh di Chelyabinsk. Foto: Agensi

MOSKOW - Sekurang-kurangnya 1,000 orang cedera selepas tahi bintang seberat 11 tan melalui kawasan pergunungan Ural, Russia, awal semalam. 
Tahi bintang itu mempunyai kelajuan 54,000 kilometer sejam dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara, kata Akademi Sains Russia. 
Letupan itu menyebabkan kaca pecah di banyak tempat, kata Kementerian Kecemasan Russia yang mengesahkan 34 orang terus dirawat di hospital, tiga daripada mereka parah. 
“Penduduk panik. Mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Semua orang mengunjungi jiran terdekat untuk memastikan sama ada mereka selamat,” kata Sergey Hametov, penduduk daerah Chelyabinsk, 1500 kilometer ke timur Moscow, bandar terbesar di kawasan kejadian. 
“Kami nampak satu letusan besar cahaya dan keluar rumah untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dan dengar bunyi dentuman kuat,” katanya lagi. 
Seorang lagi penduduk Chelyabinsk, Valya Kazakov, berkata ada juga beberapa wanita tua dekat rumahnya mula menangis kerana percaya dunia kiamat. 
Ada juga beberapa serpihan tahi bintang itu jatuh di sebuah empangan di luar bandar Cherbakul, kata pejabat gabenor wilayah yang dipetik agensi berita ITAR-Tass. Tidak diketahui sama ada penduduk terkena serpihan tahi bintang itu. 
Agensi berita itu juga memetik jurucakap tentera, Yarslavl Roshupkin sebagai berkata, pihaknya menemui sebuah lubang besar enam meter lebar di tempat beberapa serpihan mengenai bumi. 
Tahi bintang biasanya akan mengeluarkan bunyi sonik ketika masuk ke atmosfera kerana bergerak melebihi kelajuan bunyi. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vodim Kolesnikov berkata, bumbung sebuah kilang juga roboh. 
Beberapa laporan juga bercanggah dengan apa yang berrlaku. Jurucakap Kementerian Kecemasan Irina Rossius, berkata ada beberapa tahi bintang jatuh ke bumi manakala seorang lagi jurucakap, Elena Smirnikh, dipetik agensi berita Interfax sebagai berkata bahawa hanya satu tahi bintang dilihat. - AP 
INFO: Tahi bintang 
* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi 
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam 
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya lepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun 
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun 
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera 
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram 
* Bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu 
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk bantu penduduk


Dari Sinar Harian


Meteor Terhempas Beratnya 10 Tan


Laluan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, Rusia. Lebih 1,000 cedera. Foto: EPA


MOSCOW - Rusia mengerah pasukan seramai 20,000 anggota ke pergunungan Ural untuk operasi menyelamat dan membersih susulan insiden meteor seberat 10 tan terhempas di wilayah timur negara itu, semalam. 
Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi itu bagi membantu 1,200 orang yang cedera termasuk 200 kanak-kanak, kebanyakannya cedera akibat terkena serpihan kaca. 
Pancaran cahaya yang cukup terang dapat dilihat dan menggegarkan bangunan ketika meteor terhempas pagi semalam. 
Putin turut menzahirkan rasa syukurnya kerana tiada serpihan meteor seberat 10 tan itu terhempas ke kawasan yang padat berpenduduk. 
Ia bagaimanapun memasuki atmosfera bumi dan pecah kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari atas tanah. 
Menurut Akademi Sains Rusia, meteor itu melepaskan tenaga yang boleh menyamai senjata atom kecil. 
“Letupan itu begitu kuat dan mampu memecahkan beberapa buah tingkap di bangunan kami dan bangunan sekitar,” kata Polina Zolotarevskaya, penduduk Chelyabinsk kepada BBC. 
Rantau itu terletak kira-kira 1,500 kilometer ke timur Moscow dan merupakan pusat kepada banyak kilang, loji kuasa nuklear dan tempat penyimpanan sisa atom. 
Kanak-kanak antara mangsa yang ramai cedera akibat hentaman meteor yang jatuh kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan itu. 
Video yang boleh ditonton menerusi laman web menunjukkan keadaan yang cukup cemas dan ramai kanak-kanak menjerit ketika meteor itu terhempas menyebabkan serpihan kaca berserakan di bangunan sekitar. 
Sergei Serskov yang juga penduduk Chelyabinsk memberitahu BBC, bandar itu seolah-olah berada dalam zon perang selama kira-kira 20 hingga 30 minit ketika kejadian meteor itu terhempas. 
“Ketika itu saya berada di dalam pejabat dan kemudian dapat melihat cahaya yang cukup terang melalui tingkap di hadapan saya,” katanya menceritakan detik-detik cemas semalam. 
“Tidak lama kemudian, saya terhidu bau asap dan dapat melihat kepulan asap tebal dari tingkap,” katanya. 
“Beberapa minit kemudian, tingkap tiba-tiba terbuka dan berlaku letupan yang besar diikuti beberapa kali letupan kecil,” katanya. 
Gabenor Yurevich melaporkan yang meteor itu jatuh di sebuah tasik kira-kira satu kilometer dari Cherbarkul yang mempunyai penduduk seramai 46,000 orang.

Dari Kosmo!


Rusia Panik Dilanggar Tahi Bintang


Kesan pergerakan tahi bintang di ruang udara sebuah kampung di Bolshoe Sidelnikovo, kira-kira 50 kilometer dari Chelyabinsk.


MOSCOW, Rusia - Sebutir tahi bintang jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, kira-kira 1,500 kilometer dari sini semalam menyebabkan lebih 1,000 orang cedera. 
Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi. 
Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts. 
Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja. 
Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan. 
Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit. 
Pejabat gabenor tempatan dalam satu kenyataan menyatakan, tahi bintang yang bergerak pada kelajuan 54,000 kilometer sejam itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat bandar Chebakul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk. 
Bagaimanapun, serpihannya belum ditemui. 
Sekolah-sekolah ditutup selama sehari dan pertunjukan teater dibatalkan di wilayah tersebut selepas gelombang kejutan itu berlaku ketika suhu berada pada paras 18 darjah Celsius. 
Sebuah stadium hoki ais di Chelyabinsk turut rosak menyebabkan satu perlawanan terpaksa dibatalkan. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov menyatakan, mereka yang cedera telah mendapatkan rawatan perubatan selepas tahi bintang tersebut jatuh dan meletup. 
Kolesnikov menjelaskan, bumbung sebuah kilang zink turut runtuh. 
Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan. 
Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer. 
Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer. 
Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid. 
Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang. 
Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera. 
Seorang saksi, Sergey Hametov berkata, penduduk berasa panik semasa letupan itu berlaku. 
"Kami mendengar bunyi gemuruh yang kuat," katanya kepada agensi berita Associated Press. 
Seorang lagi penduduk, Valya Kazakov menyatakan, beberapa wanita tua menangis kerana menyangka hari kiamat. 
Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja. 
"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang. 
"Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya. 
Bagaimanapun, pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky yakin letupan itu bukan impak tahi bintang tetapi senjata baharu Amerika Syarikat, lapor agensi berita RIA Novosti. - Agensi


Penduduk Diminta Jangan Dekati Tahi Bintang


Sebuah bangunan runtuh akibat letupan kuat tahi bintang tersebut.


MOSCOW - Pihak berkuasa Rusia semalam meminta para penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang. 
Tahi bintang itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat Chebakul, wilayah Chelyabinsk Oblast semalam. 
"Kementerian Kecemasan Rusia memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan Ural supaya tidak mendekati objek yang tidak dikenali," kata kementerian berkenaan di laman webnya. 
Akademi Sains Rusia menganggarkan tahi bintang itu bergerak selaju 54,000 kilometer sejam. 
Tahi bintang itu menyebabkan 1,000 orang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan akibat letupan semasa ia jatuh ke dalam tasik itu. 
Pihak akademi menyatakan, ia menghantar beberapa kakitangannya ke lokasi tempat tahi bintang itu jatuh. - Agensi / Kosmo!

1 ulasan:

  1. Very good info. Lucfky me I found your blog by accident (stumbleupon).

    I've bookmarked iit for later!

    Also visit my site Get the United Kingdom facts on Wikipedia

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.