|
Nissan Teana 2.5L baru tampil gaya luaran lebih menarik dan sporty. Foto: Berita Harian |
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Bhd yang memasarkan kenderaan Nissan di Malaysia, membuka tirai 2013 dengan memperkenalkan Nissan Teana 2.5L yang ditambah baik.
Nissan Teana 2.5L terbaru itu antara lain dilengkapi ciri keselamatan baru, iaitu sistem amaran blind spot bagi meningkatkan kepekaan pemandu, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
Sistem amaran itu menggunakan dua alat pengesan radar berkuasa 24GHz di bampar belakang bagi mengesan objek bergerak dengan pemandu diberi amaran menerusi lampu LED atau bunyi buzzer jika ada ancaman bahaya di zon peka seluas tiga meter.
Membawa sofistikasi kemewahan moden ke tahap seterusnya, kereta yang memenangi pelbagai anugerah berkenaan turut menampilkan ruang dalaman kulit berwarna hitam dan gaya luaran lebih menarik.
Selain itu, ia ditambah baik melalui gril hadapan baru, penutup sil sisi, spolier belakang, skirting hadapan dan belakang untuk penampilan lebih sporty.
Ruang kabin juga diberi penampilan baru dengan kemasan kayu, stering kulit empat jejari serta iluminasi konsol pada bahagian bumbung.
“Sejak dilancarkan November 2010, lebih 8,000 Nissan Teana dijual, sekali gus muncul model kedua paling laris dalam segmen sedan mewah eksekutif bukan nasional dengan perkongsian pasaran 16.3 peratus,” kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ang Bon Beng pada majlis pelancaran dan sambutan rumah terbuka Tahun Baru China Tan Chong Motor di Subang Jaya, semalam.
Model itu didatangkan dalam lima warna iaitu kelabu, perak, hitam, emas dan putih di tawarkan pada harga atas jalan RM173,100 seunit.
Sempena pelancaran itu, Edaran Tan Chong menawarkan kadar faedah sewa beli 0 peratus untuk 12 bulan yang memberi penjimatan sehingga RM8,8888. Tempoh promosi tamat pada 31 Mac 2013.
Ang berkata, Edaran Tan Chong menjual 34,966 unit kenderaan tahun lalu, sekali gus menjadikan Nissan jenama automotif bukan nasional nombor dua dengan mencatat pertumbuhan jualan keseluruhan sebanyak 13.7 peratus.
Selain Nissan Teana 2.5L sumbangan pendapatan syarikat itu tahun ini dijangka dipacu jualan Nissan Almera yang diperkenalkan di Malaysia Oktober tahun lalu.
Terkini tempahan bagi sedan keluarga itu melepasi 15,000 unit. Edaran Tan Chong akan memperkenalkan beberapa lagi model baru dan yang ditambah baik tahun ini merentasi pelbagai segmen termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV). - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.