Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 21 Disember 2012

Makna Kiamat Menurut Al-Quran

Gambaran Barat tentang hentaman komet ke atas bumi.

Al-hamdulillah, kita masih hidup pada hari ini dan dunia ini masih belum kiamat. Maka marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memahami makna kiamat menurut al-Quran. 
Kiamat bermula dengan kemusnahan alam ini. Apabila kiamat berlaku, seluruh alam semesta ini dan isinya akan musnah secara total. Tidak ada mana-mana bahagian alam yang akan selamat dan manusia akan mati kesemuanya. 

Al-Quran memberi gambaran yang jelas tentang keadaan kiamat itu berdasarkan ayat-ayat berikut: 
"Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup; dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur; maka pada saat itu berlakulah kiamat" Ayat 13 - 15, Surah al-Haaqqa  
"Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat); (ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan; dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya" Ayat 3 - 5, Surah al-Waqia  
"Apabila langit terbelah; dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; dan apabila lautan pecah bercampur-baur" Ayat 1 - 3, Surah al-Infitar  
"(iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair; dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)" Ayat 8 - 9, Surah al-Maarij  
"Dan apabila bumi di ratakan; serta mengeluarkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong" Ayat 3 - 4, Surah al-Inshiqaq. 
Semua ini tidak mampu melindungi kita daripada kiamat yang sebenar.

Semua kemudahan ini tidak lagi wujud pada hari kiamat yang sebenar.
Gunung ini juga akan musnah pada hari kiamat yang sebenar.
Kiamat yang sebenar lebih dahsyat daripada letusan ini.
Lebih dahsyat daripada jerebu gunung berapi ini.

Peringkat kedua ialah kebangkitan semula. Kesemua manusia yang pernah hidup di muka bumi ini sejak zaman Adam akan dihidupkan semula. 
Al-Quran juga ada menceritakan detik-detik manusia dihidupkan semula berdasarkan ayat-ayat berikut: 
"Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati, apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya; (pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-Rasul!" Ayat 51- 52, Surah Yaa Siin 
Manusia ini juga tidak terkecuali akan dibangkitkan semula.
Mayat reput ini juga akan dibangkitkan semula.
Penghuni kubur lama ini juga akan dibangkitkan.
Ahli kubur ini juga sama
Juga ahli kubur ini.

Peringkat terakhir ialah pembalasan. Orang-orang yang benar akan mendapat balasan syurga, manakala yang sesat akan mendapat balasan neraka. 
Al-Quran juga memberi gambaran keadaan manusia ketika hari pembalasan berdasarkan ayat-ayat berikut: 
"Hanya dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan); maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." Ayat 53 - 54, Surah Yaa Siin. 
"Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan dan apa yang ia telah tinggalkan. Bahkan manusia itu (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri; walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri)" Ayat 13 - 15, Surah al-Qiyama. 
"Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan; dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita; dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri) dari sebelah belakangnya; maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya; dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang" Ayat 7 - 12, Surah al-Inshiqaq 
"Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu berada dalam keadaan leka menikmati kesenangan; mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh sambil duduk berbaring di atas pelamin; mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihi; dan (sebaliknya dikatakan kepada mereka yang kafir): Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman)." Ayat 55 - 59, Surah Yaa Siin 



Pemandangan syurga lebih indah daripada pemandang di atas.



Api neraka tentu lebih panas daripada api ini.

Siksa api neraka tentu lebih menyakitkan daripada gambaran ini.

Jika kita faham makna kiamat yang sebenar, kita tidak akan membuat persediaan yang berbentuk material tetapi persediaan yang berbentuk amal. 
Memahami makna kiamat yang sebenar juga membuatkan kita merasa insaf bahawa yang patut ditakuti bukan bencana kiamat itu tetapi Tuhan Yang Maha Kuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.