|
Kereta Mitsubishi Galant terputus dua sehingga mengakibatkan Deidre dan Jeremiah Isaac maut. Foto: Kosmo! |
|
Kelihatan anggota keselamatan dan bomba sedang melakukan pemeriksaan di lokasi insiden. Foto Borneo Post |
|
Jeremiah |
|
Deidre |
KOTA KINABALU: Dua bersaudara maut dan kenderaan dinaiki mereka terputus dua dalam satu nahas jalan raya di Jalan Kolam, Luyang malam Ahad lalu.
Mangsa dikenali sebagai Deidre R Jinol, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala saudaranya Jeremiah Isaac Alex Among, 22, meninggal ketika menerima rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan di seluruh anggota badan.
Lebih mengerikan, kereta jenis Mitsubisihi Galant yang dinaiki kedua-dua mangsa itu telah terputus dua menyebabkan salah seorang daripada mereka tercampak ke atas jalan raya dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam.
Sebelum insiden berkenaan terjadi, kedua-dua mangsa dikatakan sedang menuju ke pusat bandar dari arah Luyang dan tidak semena-mena kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan.
Kereta terbabit kemudiannya dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang kebetulan menuju ke daerah Luyang dari arah Bandaraya Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, lima individu yang menaiki D-Max berkenaan hanya cedera ringan.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat."
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta kepada masyarakat yang mempunyai maklumat untuk tampil segera memberikan bantuan bagi menyelesaikan kes,” ujar beliau. - Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.