Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 14 Disember 2012

Temuramah Wartawan Muslim Dengan Anak Kecil



ALEXANDER PERTZ dilahirkan pada tahun 1990. Kedua ibu bapanya adalah Kristian. Bagaimanapun, ibunya memutuskan untuk membiarkan anaknya memilih sendiri agamanya, jauh daripada pengaruh keluarga atau masyarakatnya. 
Apabila dia boleh membaca dan menulis, ibunya menyediakan berbagai jenis buku agama, sama ada agama langit atau agama bumi.  
Setelah membaca buku-buku agama berkenaan secara mendalam, Alexander memutuskan untuk menjadi seorang muslim. Sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan orang muslim pada masa itu. 
Dia sangat menyukai agama ini sampai ke tahap mempelajari solat, memahami hukum syariah, sejarah Islam, istilah bahasa Arab, menghafal sebahagian surah  dan belajar azan. 
Semua itu dia lakukan tanpa bertemu dengan seorang muslim pun. Berdasarkan pembacaannya, dia memutuskan untuk menukar namanya kepada Muhammad Abdullah, dengan tujuan agar dia mendapatkan keberkatan Rasulullah SAW yang dia sukai sejak kecil lagi. 
Anak kecil tersebut kemudiannya dikunjungi oleh seorang wartawan muslim untuk tujuan temuramah. Namun, sebelum wartawan itu bertanya, anak kecil tersebut terlebih dahulu bertanya kepada wartawan itu, "Apakah engkau hafal Al Quran?" 
Wartawan itu menjawab, "Tidak." Wartawan itu dapat melihat kekecewaan anak kecil itu terhadap jawapannya. 
Kanak-kanak itu berkata lagi, "Tapi engkau seorang muslim dan memahami bahasa Arab, bukankah begitu?" Seterusnya dia menghujani wartawan itu dengan berbagai soalan. 
"Apakah engkau telah menunaikan ibadah haji? Apakah engkau telah menunaikan 'umrah? Bagaimana engkau mendapat pakaian ihram? Apakah pakaian ihram itu mahal? Apakah saya boleh membelinya di sini, atau pakaian itu hanya dijual di Arab Saudi sahaja? Kesukaran yang bagaimanakah yang engkau hadapi sebagai seorang muslim ketika berada di dalam masyarakat yang bukan Islam?" 
Setelah soalan-soalan berkenaan dijawab oleh wartawan itu, anak kecil tersebut bercakap lagi tentang kawan-kawannya, gurunya, tentang makanan dan minumannya, ketayap putih yang dipakainya, serban yang dililitkan di kepalanya dengan model Yaman dan tentang dia berdiri di taman umum untuk melaungkan azan sebelum dia solat. Selepas itu ia berkata dengan penuh penyesalan, "Kadang-kadang saya tertinggal solat kerana tidak ingat waktu-waktu solat." 
Kemudian wartawan itu bertanya lagi kepada anak kecil itu, "Apa yang menyebabkan engkau tertarik kepada Islam? Mengapa engkau memilih Islam, tidak memilih agama yang lain?"  
Anak kecil itu diam seketika dan kemudian menjawab, "Saya tidak tahu, segala yang saya ketahui adalah daripada apa yang saya baca tentang Islam, dan setiap kali saya meneruskan pembacaan, semakin bertambah minat saya terhadap Islam." 
Wartawan itu bertanya lagi, "Adakah engkau berpuasa di bulan Ramadhan?" 
Muhammad tersenyum dan menjawab, "Ya, saya telah berpuasa di bulan Ramadhan yang lalu secara sempurna. Al-hamdulillah, itu adalah pertama kali saya berpuasa. Mulanya susah, lebih-lebih pada hari pertama". Kemudian dia menyambung lagi, "Ayah saya telah menakuti saya bahawa saya tidak akan tahan berpuasa, tetapi saya terus berpuasa dan tidak mempercayai hal tersebut". 
"Apa cita-citamu?" tanya wartawan itu lagi. 
Dengan segera Muhammad menjawab, "Saya mempunyai banyak cita-cita. Saya ingin mengerjakan haji ke Makkah dan mencium Hajar Aswad ". 
"Saya dapati keinginanmu hendak menunaikan ibadah haji sangat besar. Apakah sebabnya jadi begitu?" tanya wartawan itu lagi. 
Pada ketika ini, ibu Muhammad yang sebelum ini hanya diam mencelah, "Sebenarnya gambar Ka'bah telah memenuhi biliknya, ramai orang beranggapan apa yang dia lalui sekarang ini hanyalah khayalan, macam angan-angan yang akan terhenti pada suatu hari. Tetapi mereka tidak tahu bahawa dia bukan saja serius, bahkan sangat yakin sampai ke tahap yang tidak dapat difahami oleh orang lain ". 
Muhammad 'Abdullah tersenyum, apabila mendengar ibunya membelanya. Kemudian dia menceritakan kepada ibunya tentang tawaf di sekitar Ka'bah, dan bagaimanakah haji sebagai suatu lambang persamaan antara manusia dan bagaimana Tuhan telah menciptakan mereka tanpa memandang perbezaan warna kulit, bangsa, kaya, atau miskin. 
Kemudian Muhammad meneruskan, "Saya sudah menabung dengan mengumpulkan baki wang saku saya agar saya boleh pergi ke Makkah Al-Mukarramah. Saya mendengar, perjalanan ke sana memerlukan kos US$4,000, dan sekarang saya sudah ada US$300 dollar." 
Ibunya menyampuk, "Saya sama sekali tidak menghalangnya pergi ke Makkah, cuma kami tidak mempunyai cukup wang untuk menghantarnya ke sana pada masa ini." 
"Apakah cita-citamu yang lain?" tanya wartawan kepada anak kecil itu lagi. 
"Saya bercita-cita agar Palestin kembali kepada kaum muslimin. Tanah itu adalah tanah mereka yang dirampas oleh orang-orang Israel (Yahudi) daripada mereka," jawab Muhammad. 
Ibunya memandang anaknya itu dengan rasa hairan. Dia memberikan isyarat bahawa sebelum ini telah berlaku perdebatan antara dia dengan anaknya tentang hal ini. 
Muhammad berkata, "Ibu, ibu belum membaca sejarah, bacalah sejarah, betul-betul telah berlaku perampasan terhadap bumi Palestin." 
"Apakah cita-citamu yang lain?" tanya wartawan itu lagi. 
Muhammad menjawab, "Cita-cita saya ialah hendak belajar bahasa Arab, dan menghafal Al-Quran." 
"Adakah engkau mempunyai keinginan hendak belajar di negara Islam?" tanya wartawan. 
"Ya, begitulah!" tegasnya. 
"Adakah engkau menghadapi kesulitan tentang makanan? Bagaimana engkau mengelakkan daging babi? " 
Muhammad menjawab, "Babi adalah haiwan yang sangat kotor dan menjijikkan. Saya sangat hairan, bagaimanakah mereka boleh makan dagingnya. Keluarga saya tahu saya tidak makan daging babi, oleh sebab itu mereka tidak menghidangkannya kepada saya. Jika kami pergi ke restoran, saya akan beritahu mereka yang saya tidak makan daging babi. " 
"Adakah engkau solat di sekolah?" 
"Ya, saya telah membuat tempat rahsia di perpustakaan. Saya solat di sana setiap hari," jawab Muhammad. 
Kemudian masuklah waktu solat maghrib di tengah-tengah temuramah itu. Anak kecil itu berkata kepada wartawan, "Bolehkah engkau mengizinkan saya melaungkan azan?" 
Kemudian dia berdiri dan melaungkan azan. Tanpa disedari, air mata mengalir di kedua-dua belah mata wartawan berkenaan ketika melihat dan mendengar anak kecil itu mengalunkan azan. [Riafariana / voa-islam.com] Wallahualam. (Pembaca disyorkan mengkaji ketepatan maklumat di atas. Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap maklumat yang tidak benar di dalam artikel berkenaan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.