Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 6 November 2013

Dua Cedera Bayi Koma Remaja Larikan Kereta

Seorang remaja lelaki 17 tahun melarikan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R. Foto: Kosmo!

Kereta Nissan Grand Livina yang dilarikan remaja rosak teruk terlibat kemalangan. Foto: ABN News

Kenderaan ini rosak teruk selepas melanggar lori membawa muatan tanah. Foto: myMetro

Che Mastura yang patah tulang rusuk dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Foto: Malaysia-Chronicle


KUALA TERENGGANU – Dua keluarga melalui detik cemas apabila seorang remaja lelaki melarikan dua kereta bersama anggota keluarga mereka dalam dua kejadian di Dungun semalam. 
Kejadian yang bermula kira-kira 5 petang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil itu menyebabkan Abdul Pirhat Karim, 34, dan Che Mastura Che Awang, 31, cedera manakala anak mereka Muhammad Ashraf Ikhwan yang berusia sembilan bulan koma. 
Bayi itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, manakala Che Mastura yang patah tulang rusuk juga dirawat di hospital sama. 
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kejadian bermula apabila remaja berusia 17 tahun itu melarikan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R itu bersama sepasang suami isteri dan bayi mereka di dalam kenderaan itu. 
“Kenderaan itu berhenti di kawasan berkenaan dan pemandu kereta itu bersama isteri, kedua-duanya anggota polis dari Brickfields, ke tandas meninggalkan abang dan kakak ipar mereka bersama bayi itu di dalam kereta. 
“Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarah keluarga di Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu hari ini. 
Beliau berkata ketika remaja terbabit memandu kereta itu menghala ke Dungun, berlaku pergelutan antara remaja itu dan Abdul Pirhat menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Waja dan sebuah lori tanah dari arah yang sama. 
Rempuhan itu menyebabkan penumpang kereta berkenaan dan bayi mereka tercampak keluar daripada kenderaan itu, katanya sambil memberitahu yang remaja terbabit sebelum itu cuba melarikan sebuah Proton Persona di R&R yang sama tetapi gagal. 
Jamshah berkata selepas kemalangan di Km 88 Jalan Jerangau-Jabor itu, remaja terbabit menahan kereta Perodua Myvi yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan berpura-pura meminta pertolongan. 
“Apabila wanita berusia 18 tahun yang memandu kereta itu dan ayahnya berusia 55 tahun keluar daripada kereta, remaja terbabit dengan pantas masuk ke dalam kereta dan melarikan kereta itu bersama ibu, adik dan dua anak saudara wanita itu,” katanya. 
Beliau berkata pemandu dan dua penumpang kereta Proton Waja serta pemandu lori yang dirempuh remaja itu tidak cedera. 
Drama dua jam itu berakhir apabila polis, yang melancarkan gerakan memburu remaja terbabit berjaya menahannya bersama kereta Myvi yang dilarikan dengan empat penumpang di dalamnya dalam sekatan jalan raya di Batu Rakit dekat sini, kira-kira 7 malam. 
Jamshah berkata siasatan awal polis mendapati remaja lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah. 
Remaja yang telah berhenti sekolah semasa dalam tingkatan dua itu berasal dari Kemaman, katanya sambil memberitahu bahawa suspek dipercayai bukan mahu merompak, sebaliknya hanya melarikan kenderaan. 
Beliau berkata polis masih menyiasat latar belakang suspek dan remaja yang dipercayai mengalami masalah mental itu akan dirujuk kepada pakar perubatan. – Bernama


Foto: Sinar Harian


KUALA TERENGGANU - Sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan ketua polis Terengganu melawat mangsa kes curi kenderaan dan kemalangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dihalang daripada memasuki kawasan wad hospital itu. 
Pertengkaran kecil tercetus antara pihak media dan pengawal keselamatan hospital itu apabila media dilarang memasuki dan merakam gambar wanita yang cedera dalam kejadian itu dan dirawat di wad HSNZ. 
Pihak media diminta ke hospital itu kira-kira jam 1 petang apabila Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa memaklumkan ingin mengadakan sidang akhbar khas berhubung kes itu selepas beliau melawat mangsa kejadian terbabit. 
Bagaimanapun ketika wartawan dan jurugambar menunggu kehadiran Jamshah mereka dimaklumkan tidak boleh memasuki dan merakam gambar bayi yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ. 
Siti Jamilah Hanim dari RTM Terengganu, 29, berkata mereka memang maklum mengenai peraturan ketika berada di hospital dan sememangnya tidak boleh merakam gambar mangsa di wad ICU. 
Namun ketika Jamshah melawat ibu bayi itu yang dirawat di wad biasa, pihak media sekali lagi dihalang daripada memasuki wad berkenaan untuk membuat liputan walaupun mengikuti rombongan ketua polis Terengganu. 
"Kami faham prosedur ketika membuat liputan di hospital dan kami hormati arahan itu namun apabila di wad biasa pun kami turut dihalang masuk ke wad berkenaan, bagaimana kami nak buat kerja?" kata Siti Jamilah di sini hari ini. 
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, seorang remaja berusia 17 tahun melarikan dua kenderaan dan sebuah daripadanya terlibat dalam kemalangan menyebabkan pasangan suami isteri cedera dan anak mereka berusia sembilan bulan koma. 
Lew I-Ling, 31, dari akhbar Sin Chew Jit Poh berkata mereka agak terkilan dengan kejadian itu. 
"Sebelum ini jika VVIP (orang kenamaan) datang melawat dan meminta kami membuat liputan masalah seperti ini tidak timbul sebegini teruk tetapi kenapa kali ini kami langsung tidak dibenarkan masuk," katanya. 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri Dr Mohamad Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana menurutnya beliau belum menerima laporan mengenai perkara itu. - Bernama

Muhammad Ashraf Ikhwan, berusia sembilan bulan yang koma sudah sedar. Foto: The Star


KUALA TERENGGANU - Bayi yang tercampak keluar dari kereta yang terlibat dalam kemalangan ketika dilarikan seorang remaja Isnin lalu sudah sedar daripada koma dan menunjukkan tanda yang positif. 
Bapa mangsa, Abdul Pirhat Karim, 34, memberitahu, anaknya Muhammad Asyraf Ikhwan yang berusia sembilan bulan itu juga sudah tidak bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak semalam. 
"Anak saya juga sudah boleh menangis dan mengeluarkan suara dan saya sangat bersyukur sebab anak saya sangat kuat," katanya ketika dihubungi semalam. 
Jelas Abdul Pirhat, anaknya yang koma selama dua hari itu juga sudah boleh dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. - Kosmo! Online 7.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.