Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 19 Oktober 2012

Apa Ada Pada Keturunan

Tapak yang dipercayai kubur King Richard III
LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat letak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III. Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII. 
Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55 turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu. 
Beliau kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda. 
Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah. Agensi - Kosmo
Raja Richard III berdasarkan imaginasi pelukis

_______________________________________________________________________

Begitulah kisah raja, merangkap ahli politik pada zaman dahulu kala. Waktu itu, ahli politik yang berjaya akan diangkat menjadi raja. Yang kalah akan diburu atau dibunuh. Tidak banyak bezanya dengan pencapaian ahli politik pada zaman ini. 
Bezanya, ahli politik zaman sekarang menggunakan medium pilihan raya untuk mendapatkan kuasa. Yang menang akan dilantik sebagai presiden atau perdana menteri. Yang kalah akan kembali menjadi rakyat biasa. 
Sebaliknya, ahli politik pada zaman dahulu menggunakan senjata untuk menaiki takhta. Yang menang akan menjadi raja. Kemudian mewariskan takhta kepada keturunannya. Jika ada keturunannya yang zalim memerintah selepas itu, pasti akan ada yang mengangkat senjata untuk merebut takhta. 
Sebenarnya, siapapun boleh menjadi raja pada zaman dahulu. Tiada peraturan hakiki yang menetapkan kelayakan untuk menjadi raja. Yang jelas, siapa kuat dialah raja. 
Dalam sejarah China, terdapat beberapa orang petani yang berjaya menjadi maharaja, setelah menang perjuangan bersenjata. Perkara seperti ini juga terjadi di Eropah. Bukankah Napoleon yang pernah menjadi Raja Perancis itu berasal daripada keturunan orang biasa? 
Maka, tidak ada apa yang hendak dibanggakan menjadi keturunan raja. Lihat sahaja kisah Michael Ibsen di atas. Sebagai generasi ke-17 keturunan anak saudara Raja Richard III, beliau kini hidup sebagai orang biasa. 
Maka, jangan terlalu membanggakan keturunan raja, kerana raja hanyalah sekadar gelaran untuk menunjukkan kedudukan paling tinggi di kalangan sekumpulan manusia atau pemimpin pada zaman dahulu. 
Bahkan, tidak ada jaminan keturunan raja pada hari ini kebal daripada penyakit tiga serangkai yang amat ditakuti, iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Insaflah, Tuhan menjadikan semua manusia itu sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.