Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 6 November 2013

Saat Bahagia Bertemu Ibu Kandung

Roslina (bertudung) dicium ibunya sambil dipeluk lima adik kandung lain ketika dipertemukan di rumahnya, semalam. Foto: myMetro

Rosalina (empat dari kiri) menyuap kek ke mulut ibu kandungnya, Yie Keaw sambil disaksikan lima lagi adik-beradiknya

Wong Yi Keaw (tengah) bersama Rosalina Ahmad (dua dari kiri) serta anggota keluarga mereka


KOTA BHARU 5 Nov. - Doa seorang wanita setiap kali selepas solat bagi memohon Allah SWT memberi peluang kepadanya untuk berjumpa dengan ibu kandung yang terpisah sejak 63 tahun lalu, akhirnya dimakbulkan apabila mereka dipertemukan di rumah wanita itu di Kampung Padang Bongor di sini. 
Bagi Rosalina Ahmad, 64, pertemuan dengan ibunya, Wong Yi Keaw, 79, adalah hari yang paling bahagia dalam hidupnya kerana sebelum ini dia sudah putus harapan apabila mengetahui ibu kandungnya adalah rakyat China yang datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh ladang dan telah kembali ke negara asalnya pada 1951 iaitu ketika dia baru berusia setahun. 
Lebih manis, Rosalina bukan sahaja dapat bertemu ibunya tetapi lima saudara perempuannya turut datang dari Wilayah Hainan, China untuk berjumpa dengannya iaitu Yang Chai Qin, 61; Yang Mei Lian, 57; Yang Chai Ping, 56; Yang Jun Na, 52, dan Yang Xiao Fen, 50. 
Rosalina berkata, perpisahan berlaku pada 1950 ketika dia dilahirkan oleh ibunya yang ketika itu berusia 14 tahun di Kampung Pulai, Gua Musang. 
"Disebabkan kesempitan hidup serta lumpuh sebelah badan selepas melahirkannya, Yi Keaw dan suaminya, Yang Yeng yang sudah meninggal dunia terpaksa mencari keluarga angkat untuk bayi mereka,'' katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran di rumahnya di sini hari ini. 
Menurutnya, hasil bantuan penduduk kampung ketika itu, dia diserahkan kepada ibu bapa angkat iaitu Ahmad Said dan Abidah Abdullah ketika dia berusia enam bulan untuk dibela memandangkan pasangan berkenaan tidak mempunyai anak dan merupakan antara penduduk kampung yang disegani. 
Katanya, beberapa bulan selepas itu ibu bapa kandungnya telah pulang ke negara asal dan sejak itu mereka langsung tidak berjumpa malah dia sendiri yang dibawa berhijrah ke Kuala Krai oleh Ahmad dan Abidah langsung tidak tahu bahawa ibunya itu masih mempunyai sepupu yang tinggal di Gua Musang. 
Bagaimanapun katanya, tekadnya untuk mencari kembali keluarganya semakin memuncak tahun lalu menyebabkan dia segera berjumpa dengan beberapa akhbar bahasa Cina bagi memohon kisah hidupnya disiarkan dan berharap ada ahli keluarganya yang membaca berita tersebut. 
"Saya tidak sangka usaha saya itu akhirnya menjadi jalan yang mempertemukan kami kerana rupa-rupanya ibu saya pernah datang ke negara ini dan pergi ke Gua Musang pada 2003 untuk mencari saya namun tidak dapat berjumpa. 
"Dengan takdir Allah, ibu saya telah berjumpa seorang pemimpin MCA di Gua Musang iaitu Lew Kew, 66, yang telah membaca mengenai kisah saya dan dari situlah Kew banyak membantu menguruskan untuk kami dipertemukan," katanya. 
Rosalina yang telah berkahwin dengan anggota polis, Ishak Harun, 55, pada tahun 1981 dan dikurniakan enam cahaya mata berkata, Kew telah mengatur pertemuan di Gua Musang pada bulan Ramadan lalu dan itu adalah kali pertama dia berjumpa dengan Yi Keaw yang datang sendiri ke Malaysia. 
"Masa itu, kami hanya berborak biasa dan bertanya beberapa soalan bagi mengetahui sama ada dia adalah ibu kandung saya atau pun saya adalah anak dia, tetapi memang bukan senang mengingat kembali kenangan lama terutama selepas ayah dan ibu angkat sudah meninggal dunia. 
"Detik kebahagiaan yang saya nantikan akhirnya tiba apabila ibu berkata saya dilahirkan dengan sempurna dan dia masih ingat kesan suntikan BCG di paha kanan saya yang telah menjadi tanda lahir saya. 
"Ketika itu tiba-tiba sahaja saya berasa sangat gemuruh dan tahu bahawa dia adalah ibu kandung saya dan tiada perkara lain yang saya lakukan selain mengucup dan memeluknya untuk melepaskan rindu yang terpendam sekian lama. 
"Sejak itu saya berasa sangat bahagia, barulah diri saya ini lengkap kerana inilah hajat saya selama ini. Kegembiraan saya tidak boleh digambarkan lagi dan kalau boleh saya mahu satu dunia tahu bahawa saya sudah berjumpa kembali dengan ibu saya," katanya sebak. 
Sementara itu, anak sulungnya, Nur Ishamina, 30, berkata, dia dan adik-adiknya turut gembira dengan pertemuan itu bukan sahaja kerana dapat berjumpa dengan nenek mereka tetapi kerana hasrat ibu mereka telah termakbul. 
"Saya kasihan dengan emak saya, dia selalu bersedih dan memberitahu dia sangat berharap dapat berjumpa dengan ibunya kerana telah dibesarkan oleh ibu bapa angkat tanpa ada adik-beradik lain. 
"Hari ini kami sekeluarga berkumpul di sini dengan nenek dan ibu saudara saya yang datang dari China, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu keluarga saya dan memberi sumbangan untuk majlis kesyukuran ini," katanya. 
Menurut Nur Ishamina, neneknya akan berada di Malaysia selama 10 hari sebelum kembali ke China dan mereka sekeluarga kini merancang untuk pergi bercuti ke China pada tahun depan untuk melawat ahli keluarga mereka di sana. - Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.