Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 5 November 2013

Sekitar Perbicaraan Mursi

Presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Mursi tiba di mahkamah. Foto: The Independent 

Mursi berdepan pertuduhan menghasut penunjuk perasaan sehingga mengakibatkan pembunuhan. Foto: AP

KAHERAH, MESIR. Presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Mursi dilaporkan media tempatan sudah tiba di mahkamah di Kaherah di mana perbicaraannya dijadualkan, hari ini. 
Mursi dan 14 anggota Ikhwanul Muslimin berdepan pertuduhan menghasut penunjuk perasaan sehingga mengakibatkan pembunuhan dalam pertempuran di luar istana Presiden. 
Kawalan keselamatan dikatakan berada di tahap tertinggi selepas penyokongnya mengadakan protes terbesar. 
Mursi diguling pihak tentera pada Julai lalu. 
Menurut stesen TV tempatan, Mursi tiba di bilik mahkamah, di dalam Police Academy di Kaherah. 
Selain itu, pemimpin Ikhwanul Muslimin, Essam el-Erian, Mohammed al-Beltagi dan Ahmed Abdel Aati juga di sana. 
Mursi dilihat dari jauh memakai pakai seperti rakyat tempatan, lapor radio tempatan. - Sinar Harian



Perbicaraan ke atas Presiden Mesir, Mohamed Mursi berlangsung dengan kawalan keselamatan yang ketat. Foto: Reuters

Sejurus perbicaraan itu bermula, ia dihentikan seketika kerana laungan defendan. Foto: Reuters

Mursi enggan memakai pakaian seragam penjara seperti defendan yang lain. Foto: Reuters

Ketika Mursi memasuki mahkamah, Mursi enggan menanggalkan sut yang dipakainya. Foto: Reuters

Para peguam Ikhwanul Muslimin dan Mursi. Foto: Reuters

Pata penyokong Mursi berdoa di luar mahkamah. Foto: Reuters

KAHERAH - MESIR. Perbicaraan ke atas Presiden Mesir, Mohamed Mursi berlangsung dengan kawalan keselamatan yang ketat di Kaherah. 
Sejurus perbicaraan itu bermula, ia dihentikan seketika kerana laungan defendan dan keengganan Mursi untuk memakai pakaian seragam penjara, kata stesen TV tempatan. 
Ketika Mursi memasuki mahkamah, Mursi enggan menanggalkan sut yang dipakainya dan menolak untuk memakai pakaian seragam penjara. 
Tunjuk perasaan turut berlaku di luar mahkamah dan beberapa kawasan lain di Kaherah. - Sinar Harian



Para penyokong Mursi menjulang poster di luar mahkamah. Foto: AFP

Para penyokong wanita juga tidak ketinggalan memberi sokongan kepada Mursi. Foto: AFP

Penyokong Mursi menunjukkan simbol 'Rabia'. Foto: AFP

Seorang penyokong Mursi menjulang poster sokongan terhadap Mursi. Foto: AFP

Seorang pegawai polis berpakaian awam merakam gambar para penyokong Mursi. Foto: AFP

Kawalan ketat oleh pasukan keselamatan semasa perbicaraan Mursi. Foto: AFP

Ketegangan di luar mahkamah menyebabkan perbicaraan dipindahkan ke Akademi Polis di timur Kaherah. Foto: AFP

Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi (kiri) yang merampas kuasa adalah panglima tentera yang dilantik oleh Mursi. Foto: AP

KAHERAH - Lokasi perbicaraan Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Mursi terpaksa diubah pada saat akhir bagi mengelakkan pertempuran berdarah. 
Beliau muncul di Mahkamah Perlembagaan di sini semalam, buat kali pertama sejak ditahan 3 Julai lalu bagi menghadapi perbicaraan pembunuhan penunjuk perasaan di istana presiden, Disember tahun lalu. 
Tuduhan itu boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup. 
Sejurus tiba di mahkamah, beliau kemudiannya diterbangkan dengan helikopter ke Akademi Polis di timur Kaherah bagi meneruskan perbicaraan bersama 14 pengikut Ikhwanul Muslimin (IM). 
Pengikut IM, termasuk Essam el-Erian, Mohammed al-Beltagi dan Ahmed Abdel Aatie dilaporkan dibawa ke Akademi Polis oleh anggota keselamatan dengan menaiki kenderaan perisai. 
Tidak lama selepas sesi perbicaraan bermula, stesen televisyen Al Jazeera melaporkan, perbicaraan itu dihentikan sementara kerana Mursi hadir ke mahkamah dengan memakai sut rasmi dan enggan memakai seragam penjara. 
"Keengganan beliau berbuat demikian sebagai tanda protes dan pernyataan bahawa beliau masih lagi Presiden Mesir yang sah", menurut laporan terbabit. 
Mursi dilaporkan berkata kepada hakim; “Saya adalah presiden sah untuk negara ini dan saya mempertanggungjawabkan kamu di atas semua jenayah rampasan kuasa ke atas legitimasi”. 
Beberapa hari sebelum perbicaraan, tiga hakim meletakkan jawatan selepas merasakan perbicaraan itu bercanggah dengan undang-undang. 
Hakim Mohammed Fahmy al- Qarmuty berkata, beliau dan rakan-rakannya mempunyai ‘rasa malu’ untuk mengendalikan kes terbabit. 
Sementara itu, ribuan rakyat Mesir melakukan protes di luar Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi di tengah bandar dan Mahkamah Perlembagaan di selatan negara itu. 
Lebih 20,000 anggota keselamatan berkawal bagi menyuraikan penunjuk perasaan. 
Orang ramai dilihat melaungkan slogan anti tentera dan mengecam Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi dengan menggelarnya sebagai ‘pembohong’. 
Anaknya, Osama Mursi berkata, keluarganya tidak akan menghadiri perbicaraan itu kerana menganggapnya tidak sah dan menyifatkan kejadian menimpa bapanya sebagai kes culik untuk dijadikan tebusan, laporan dipetik dari Agensi. - Sinar Harian


KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi dibawa ke sebuah penjara di Iskandariah selepas prosiding perbicaraan, kelmarin. 
Mahkamah sebelum itu memerintahkan, perbicaraan Mursi, 62, dan 14 pengikut Ikhwanul Muslimin (IM) ditangguhkan sehingga 8 Januari tahun hadapan. 
Media tempatan melaporkan, sebuah helikopter dilaporkan membawa Mursi ke bandar Perindustrian Burg Al-Arab di Iskandariah yang menjadi lokasi tahanan beliau sehingga perbicaraan seterusnya. 
Sebelum meninggalkan mahkamah, beliau memberikan senyuman kepada ribuan penyokong sambil menunjukkan isyarat ‘Rabia’. 
Tentera dan polis membina pos kawalan dan menghalang semua laluan ke penjara berkenaan. 
Mursi membuat kemunculan pertama sejak ditahan pada 3 Julai lalu. 
Kehadiran beliau memasuki kandang tertuduh dengan pakaian sut kelmarin, disambut dengan laungan pengikut IM ‘turun pemerintahan tentera!’ dengan barisan peguam bela bertepuk tangan. 
Sebelum Hakim Ahmed Sabry Yussef membuka sesi prosiding, beliau dengan lantang berkata:, 
“Saya memberi amaran kepada anda semua, badan kehakiman Mesir bukan lagi menjadi tempat perlindungan bagi rampasan kuasa tentera. 
“Saya masih Presiden Mesir!” katanya yang mengulangi ayat itu sebanyak empat kali. 
Ketika prosiding itu, beliau menegaskan, pihak menggulingkannya perlu dihadapkan ke mahkamah. 
“Saya telah dipaksa untuk hadir ke sini. Saya ke mahkamah dengan kekerasan. Rampasan kuasa ini adalah satu jenayah dan pengkhianatan,” katanya. 
Beliau kemudiannya meminta mikrofon, supaya suaranya dapat didengar segenap juri yang hadir. 
“Ini bukan mahkamah saya. Mahkamah ini tiada kuasa ke atas presiden. Terdapat satu rampasan kuasa tentera di negara ini. Pemimpin rampasan kuasa ini mesti dibawa ke mahkamah sejajar dengan Perlembagaan,” katanya. 
Mursi bersama 14 pengikut IM berdepan pertuduhan menghasut dalam pembunuhan di pekarangan Istana Presiden pada Disember 2012, jika didapati bersalah beliau boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup, laporan dipetik dari Agensi. - Sinar Harian




KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammad Mursi dilapor menghabiskan malam pertama di wad hospital Penjara Iskandariah selepas mengadu tidak sihat, semalam. 
Pegawai kanan keselamatan Mesir berkata, sejurus tiba di penjara berkenaan Mursi, 62, meminta pegawai pengiring keselamatan menghantarnya ke hospital penjara. 
“Beliau menjalani pemeriksaan kesihatan dan kini ditempatkan di sel biasa dengan kemudahan sama seperti tahanan lain,” katanya. 
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan menafikan, Mursi ditempatkan di ruang penjara yang tidak selesa. 
“Mursi menerima layanan sama seperti tahanan lain tanpa kelebihan atau kekurangan,” memetik kenyataan itu. 
Isnin lalu, Mursi tampil di khalayak buat kali pertama sejak empat bulan ‘disembunyikan’ pihak keselamatan untuk perbicaraan pertuduhan menghasut dalam pembunuhan di perkarangan Istana Presiden pada Disember 2012. 
Menurut laporan Agensi, prosiding itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan ke 8 Januari tahun depan oleh Hakim Ahmed Sabry Yussef selepas 14 pengikut Ikhwanul Muslimin dan peguam bela saling ‘berbuat bising' ketika perbicaraan berlangsung. 
Hakim kemudiannya menetapkan, Mursi perlu dipindahkan ke Penjara Iskandariah iaitu bandar terbesar kedua di Mesir bagi mendapat kawalan keselamatan maksimum. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.