Mutukrishnan menunjukkan ibu jari tangan kanannya yang telah dipotong. Foto: Kosmo Online. |
Pada minggu lalu, seorang juruteknik bernama Shah dilaporkan menjadi mangsa kepada ah long. Mangsa yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan, terpaksa menanggung hutang yang meningkat secara mendadak sehingga RM80,000.
Selain itu, kad ATM milik mangsa juga dipegang oleh ah long, menyebabkan kesemua wang gaji mangsa diambil oleh ah long sebagai bayaran hutang.
Minggu ini, seorang penjual daging yang bernama Mutukrishnan pula dilaporkan menjadi mangsa hutang. Kali ini, mangsa membuat pinjaman RM50,000 dengan sebuah syarikat kewangan berlesen pada tahun 2006.
Bagaimanapun, apabila mangsa gagal membayar balik baki pinjaman RM13,000 pada tahun lalu, kepala mangsa telah ditetak dengan senjata tajam, telinganya dihiris dan ibu jari tangan kanannya dipotong!
Lebih mengejutkan, mangsa diusir pula dari rumahnya di Selayang oleh pekerja syarikat kewangan berlesen itu, manakala hak milik rumah mangsa telah ditukar kepada syarikat berkenaan oleh pihak bank tanpa pengetahuan mangsa, kerana kononnya, rumah berkenaan telah digadai kepada bank.
Soalnya, apakah tindakan seperti itu adil? Jika diteliti dalam kes hutang sebegini, kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam adalah agak tinggi dan tidak munasabah. Selain itu, tindakan terhadap peminjam yang gagal membayar balik juga bersifat melampau kerana melibatkan ugutan, tindakan kekerasan dan mengakibatkan kecederaan.
Memanglah kita patut faham, setiap orang yang berhutang mesti bertanggungjawab menjelaskan hutangnya. Tetapi, kita juga tidak sepatutnya membiarkan tindakan tidak bertamadun digunakan untuk menuntut hutang.
Sehubungan itu, adalah diharapkan pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap perkara ini. Satu tindakan yang menyeluruh perlu diambil segera bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan. Kita tidak mahu lebih ramai individu dan keluarga mereka menjadi mangsa kepada kekejaman dan ketidakadilan berpunca daripada hutang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.