Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 18 Oktober 2012

Lelaki Yang Menghalang Perang Dunia III

Vasili Arkhipov.


Ceritanya begini. Selepas tamat Perang Dunia II pada tahun 1945, Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union (Soviet) masing-masing muncul sebagai kuasa besar dunia yang baru. Selepas itu, negara-negara di dunia ini telah terbahagi kepada dua blok iaitu blok kapitalis dan blok komunis.
Blok kapitalis di ketuai oleh AS manakala blok komunis dipimpin oleh Soviet. Walaupun tidak berlaku peperangan yang menggunakan senjata di antara AS dengan Soviet, namun kedua-dua negara terlibat dalam Perang Dingin.
Pada tahun 1959, berlaku revolusi di Cuba, negara jiran terdekat AS. Selepas revolusi, Cuba muncul sebagai negara komunis dan penyokong Soviet.
Sebagai sekutu Soviet, Cuba dibekalkan peluru-peluru berpandu secara rahsia, yang dipasang menghala ke AS dan mampu meratakan bandar Washington dan New York dalam masa 10 minit. Bagaimanapun, rahsia ini diketahui oleh pihak AS pada tahun 1962.
Pada masa yang sama, empat buah kapal selam Soviet telah dihantar belayar ke Cuba secara rahsia. Kesemua empat kapal selam berkenaan membawa torpedo berpeledak nuklear. Setiap torpedo mempunyai kekuatan setanding dengan bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki.  


Apabila mengetahui ancaman itu, pihak AS telah memburu kapal-kapal selam berkenaan. Sebuah daripada kapal selam itu ialah B59, yang disertai oleh Vasili Akhipov. Menyedari mereka diburu, kapal-kapal selam itu telah menyelam dan bersembunyi. Namun, pihak AS dapat juga mengesan kedudukan kapal-kapal selam itu.  
Setelah bertahan selama seminggu di bawah air, keadaan suhu di dalam kapal selam mengalami kelembapan yang tinggi dan air minum terpaksa dicatu segelas sehari untuk satu orang. Bagaimanapun kapal-kapal selam Soviet itu tidak boleh timbul kerana pihak AS sedang menanti di atas.
Kerana hilang sabar, pihak AS telah menjatuhkan granat peringatan ke dalam laut.
Bagaimanapun, Valentin Savitsky, Kapten kapal selam B59 menyangka perang nuklear sudah bermula. Beliau lalu memerintahkan torpedo nuklear dilancarkan ke arah AS. Namun, Arkhipov bertegas bahawa mereka tidak boleh menggunakan senjata itu dan sebaliknya mendesak supaya mereka menyerah diri kepada AS.
Apabila kapal-kapal selam itu timbul, pihak AS telah mengarahkan mereka kembali ke Rusia.
Apabila balik ke Rusia, Arkhipov telah dimalukan dan diasingkan kerana dianggap sebagai pengecut. Bagaimanapun, Arkhipov tidak menyedari jasanya kepada dunia. Beliau meninggal dunia pada tahun 1998. Kisah Arkhipov boleh diikuti dalam dokumentari berjodol The Man Who Stopped World War III.

Arkhipov bersama anak perempuannya tiga tahun sebelum meninggal dunia pada tahun 1998.
Olga, balu kepada Arkhipov tetap bangga dengan tindakan suaminya walaupun suaminya pernah dituduh pengecut dan memalukan negaranya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.