Satu-satunya anak emak. |
Polisi satu anak di China yang diperkenalkan pada tahun 1980 mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya, populasi penduduk dapat dikawal supaya tidak berlebihan dan bilangan penduduk yang hidup dalam kemiskinan dapat dikurangkan.
Kini selepas 32 tahun polisi itu diperkenalkan, kira-kira sejuta keluarga telah kehilangan satu-satunya pewaris keturunan mereka akibat kematian. Manakala dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, antara empat hingga tujuh juta keluarga di China dijangka mengalami nasib yang sama.
Sedangkan polisi itu menyebabkan seorang anak akan menyara ibu bapanya dan empat orang datuk dan neneknya. Namun jika anak itu mendapat kecelakaan yang membawa kecacatan kekal atau mati, kebajikan ibu bapa dan datuk serta neneknya akan terabai begitu sahaja.
Setakat ini, Undang-Undang Kebangsaan 2001 mewajibkan kerajaan-kerajaan tempatan menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan satu-satunya anak mereka. Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenainya.
Pelaksanaan polisi juga berbeza mengikut wilayah. Sichuan membenarkan keluarga memohon kebenaran untuk memiliki seorang lagi anak manakala Shanghai mensyaratkan sejumlah wang perlu dibayar untuk anak kedua.
"Peraturan sentiasa ada tetapi tidak memberi sebarang erti," kata Yi Fuxian, ahli akademik yang berpusat di AS yang mengkritik polisi satu anak melalui bukunya, Big Country in an Empty Nest.
Yi juga menyatakan, berdasarkan statistik rasmi, kira-kira 4.63 peratus keluarga satu anak dengan jumlah keseluruhan 218 juta dijangka kehilangan anak lelaki atau perempuan apabila mencapai usia 25 tahun.
Yi dan penyelidik demografi lain mendesak China membantu keluarga-keluarga itu dan sekali gus memansuhkan polisi satu anak dengan serta merta.
Menurut anggaran bancian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 30 peratus penduduk China akan berusia 60 tahun atau lebih pada tahun 2050.
Bagaimanapun, Ketua Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Populasi Negeri, Li Bin memberitahu, China bercadang untuk mengekalkan dan memperperbaiki langkah-langkah yang ada serta memahami keperluan yang dikehendaki oleh populasi warga tua.
Pada masa ini, terdapat beberapa pengecualian pada polisi satu anak iaitu melibatkan petani yang melahirkan anak perempuan, pasangan yang berketurunan etnik minoriti dan ibu bapa yang juga merupakan anak tunggal dalam keluarga masing-masing.
Bagi Gu Baochang, profesor di Universiti Renmin, Beijing, pihak berkuasa telah dapat mengesan masalah-masalah yang timbul daripada polisi satu anak apabila generasi pertama ibu bapa itu telah mencapai usia tua.
Bagaimanapun dia memberi amaran, mereka sepatutnya bertindak bertahun-tahun dahulu kerana bahaya berkaitan demografi hanya dapat dilihat selepas lama masa berlalu.
Sumber: AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.