Gambar menunjukkan al-Quran tertua. |
MANAMA: Sebuah manuskrip lama al-Quran ditemui di dalam sebuah gua, di pergunungan selatan bandar Dhale, di bahagian selatan negara itu oleh seorang lelaki Yaman. Ketika ditemui, manuskrip berkenaan tersimpan dalam penutup kulit.
Manuskrip itu ditulis dengan tangan dan bertarikh tahun 200 Hijrah (815 Masihi) pada halaman pertamanya. Ujian awal menunjukkan manuskrip berkenaan adalah tulen dan merupakan nashkah al-Quran paling tua pernah ditemui setakat ini.
Penemuan berkenaan dilaporkan dalam halaman web berita Yaman berbahasa Arab, Aden Gulf News.
Menurut halaman web itu, huruf Arab yang awal tidak mempunyai titik. Titik hanya diperkenalkan pada peringkat akhir dalam abjad Arab untuk membezakan ia dengan huruf lain yang kelihatan sama.
“Pemuda yang enggan dikenali itu dilaporkan turut menerima tawaran sejumlah besar wang bagi menukar manuskrip berkenaan, termasuk sejumlah YR12 juta (RM170,664) yang ditawarkan kepadanya, tetapi beliau enggan berbuat demikian,” kata saudara terdekatnya.
Pemuda berkenaan dilaporkan sampai di gua gunung berkenaan dengan mendaki menggunakan tali dan menegaskan itu hanya satu-satu cara untuk ke sana.
Halaman berita itu juga mendakwa, lelaki berkenaan turut menemui sebilah pedang bersebelahan naskhah al-Quran yang dipercayai milik Ali Bin Abu Talib, Khalifah keempat Islam yang juga menantu Nabi Muhammad.
Beberapa perakuan sejarah mengatakan bahawa ia adalah pedang Dhu Al Faqqar yang dihadiahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ali. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.