"Angah, jangan ikut Tok!" pujuk Tok Aji tatkala dia selesai berbuka puasa. Tapi saya mendengus kerana hendak mengikutnya, sekalipun tidak mengetahui Tok Aji hendak ke mana.
"Tok nak Terawih?" soal saya.
Tok Aji geleng kepala. Kemudian dia mencapai baju teluk belanganya yang tersangkut di dinding.
"Parang aku mana?" Tok Aji berpaling ke arah nenek dengan tidak menghiraukan saya.
Nenek bergegas ke dapur mengambil parang Tok Aji. Setelah menyambut parang dari tangan nenek, Tok Aji segera mengambil tongkatnya dan berjalan terkial-kial ke pintu. Sebelah kaki Tok Aji lumpuh. Sebab itu dia menggunakan tongkat untuk berjalan. Tok Aji berhenti di pintu apabila menyedari saya mengikutinya dari belakang.
"Angah jangan ikut..." katanya memujuk dengan lembut. Tetapi saya tetap berkeras mahu mengikut Tok Aji.
"Ah, biarlah dia nak ikut, apa salahnya," sahut nenek.
"Malam ini berbantai, aku nak ke sana," ujar Tok Aji perlahan-lahan menuruni tangga. "Bukan berbantai kerbau biasa, dia orang berbantai kerbau liar," sambungnya lagi.
Biasanya pada malam puasa terakhir di kampung, dijalankan upacara berbantai, iaitu menyembelih lembu atau kerbau untuk dimasak rendang bagi menyambut hari raya. Orang-orang di kampung Tok Aji berjaya menangkap seekor kerbau liar untuk digunakan berbantai.
Kerbau liar ini pun sebenarnya kepunyaan orang-orang kampung juga. Namun mereka tidak dapat membawa kesemua ternakan mereka semasa kerajaan memindahkan para penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman kampung, sewaktu zaman darurat dulu. Kerbau yang mereka tinggalkan itulah yang terlepas ke hutan dan menjadi kerbau liar.
Apabila darurat tamat, mereka dibenarkan balik semula ke kampung. Sejak itu tuan-tuan punya kerbau berusaha menangkap semula kerbau-kerbau mereka yang terlepas ke hutan.
Usuh, kawan Tok Aji dapat menangkap semula seekor kerbaunya yang terlepas ke hutan. Sebab itu Usuh menyampaikan hajatnya, berbantai kerbaunya yang sudah menjadi liar.
"Jangan ikut, nanti terlepas kerbau liar tu," Tok Aji melarang.
Bagaimanapun Tok Aji terpaksa juga mengalah setelah saya berkeras mahu mengikutinya ke tempat Usuh berbantai. Malam itu, dia berjalan di hadapan saya sambil memegang pelita minyak tanah. Api pelita itu meliuk-liuk ditiup angin walaupun Tok Aji sudah menggunakan daun jarak menutup bahagian belakang pelita, untuk melindungi apinya daripada ditiup angin.
"Agaknya dah ramai orang menunggu tu..." ujar Tok Aji terhinggut-hinggut berjalan menggunakan tongkat.
Tetapi sebaik sampai di kawasan lapang berdekatan pokok rambai, tidak kelihatan sesiapapun di situ. Usuh juga tidak kelihatan di mana-mana. Lampu gaslin memang ada tersangkut di dahan pokok, tetapi hampir malap kerana tidak dipam.
Saya terhangak-hangak mencari siapa yang ada menunggu di situ. Mereka semua sepatutnya sedang menanti Tok Aji untuk menyembelih kerbau kerana Tok Aji sudah berjanji dengan Usuh akan segera datang selepas berbuka puasa dan solat Maghrib.
"Ke mana pula Usuh ni...?" keluh Tok Aji berhenti berhampiran busut, tidak jauh dari pohon rambai.
"Hoi...!" terdengar suara orang melaung dalam kegelapan senja tidak jauh dari situ. "Abang Aji ke tu?" suara Usuh seolah-olah sayup di udara.
"Iya, aku!" sahut Tok Aji mendongak ke atas.
Dari silauan lampu pelita itu, memang Usuh yang melaung dari pertengahan pokok kelapa, tidak jauh dari tempat kami berdiri. Usuh berpaut di situ bersambung-sambung punggung dengan Latih, Akop, Semik, Lias dan Kahar.
Geli juga hati saya melihat mereka berenam memanjat sebatang pokok kelapa di dalam kegelapan malam.
"Apa kena kau orang semua ni...?" soal Tok Aji kehairanan.
"Kerbau terlepas Bang Aji..." sahut Usuh cemas. "Lebih baik Bang Aji balik dulu. Kerbau ada di bawah pokok kelapa ni menebong-nebong!" ujarnya sambil menguak-nguak tangan menyuruh kami pergi.
Ketika itu, kerbau yang terlepas sedang menunggu di bawah pokok kelapa sambil menyondol-nyondolkan tanduknya yang runcing ke perdu pokok. Mereka berenam tidak sempat memberitahu Tok Aji mengenai kerbau sudah terlepas dari ikatan sebab mereka semua berlumba-lumba memanjat pokok kelapa itu bagi menyelamatkan diri daripada diserbu kerbau berkenaan.
"Balik dulu Bang Aji, kerbau ni turun minyak," laung Usuh lagi menguak-nguak tangan menyuruh kami beredar dengan segera.
Tok Aji menolak bahu saya untuk meninggalkan tempat itu. Namun, belum pun sempat saya melangkah, saya terdengar bunyi tapak kaki kerbau itu menerkam dari balik busut yang terlindung oleh belukar senduduk. Mungkin juga kerbau itu nampak kilauan api di tangan Tok Aji, menyebabkannya segera menerkam.
Usuh dan kawan-kawannya yang berpaut pada pokok kelapa bersorak-sorak kuat untuk menakut-nakutkan kerbau yang semakin mendekati kami.
Saya nampak lembaga hitam menyerbu keras dari dalam gelap terlalu pantas. Cepat-cepat Tok Aji menolak saya sehingga tubuh saya terpelanting ke dalam belukar senduduk. Akibatnya, dia tidak sempat membuang pelita di tangan semasa kerbau itu menyerbu ke dadanya.
Saya menjerit cemas semasa melihat Tok Aji terlambung di hujung tanduk kerbau yang meruncing tajam. Pelitanya tercampak ke tanah sehingga terpadam apinya. Keadaan yang gelap menyebabkan saya tidak dapat melihat apa yang berlaku kepada Tok Aji.
Melihat keadaan itu, Usuh dan rakan-rakannya terjun ke tanah untuk menyelamatkan Tok Aji yang diserbu kerbau yang tengah turun minyak.
Bagaimanapun saya hanya mendengar sekali sahaja kerbau itu menerkam. Selepas itu, saya tidak pula mendengar bunyi tanah dihentak-hentak kaki kerbau. Saya hanya mendengar bunyi nafas kerbau itu melenguh-lenguh kuat.
"Cepat Usuh... sembelih kerbau ni!" saya mendengar Tok Aji termengah-mengah di dalam gelap.
Tidak lama kemudian, Usuh datang bersama lima rakannya membawa lampu gaslin. Dari sinaran lampu gaslin inilah saya nampak Tok Aji terlentang di bawah perut kerbau yang berdiri tegak tidak bergerak. Saya lihat, tangan Tok Aji berpaut pada perut kerbau itu, sedangkan kerbau itu menundukkan kepalanya dengan air liur melejeh-lejeh dari lubang hidungnya.
Cepat-cepat Simek mendapatkan saya yang tergolek di perdu belukar senduduk. "Angah luka ke?" tanya Simek mengibas-ngibas bahu dan belakang saya yang dilekati pasir.
Saya gelengkan kepala, tetapi cemas melihat Tok Aji terlentang dengan tangannya seolah-olah menupang perut kerbau yang tegak tidak bergerak. Bagaimanapun Usuh tidak membenarkan saya mendekati Tok Aji kerana bimbang kerbau itu akan meronta semula.
"Cepat sembelih kerbau ni Usuh!" Tok Aji mengeraskan suaranya.
"Rebahkan dulu ke Bang Aji?" soal Usuh bingung.
"Tak payah..., sembelih cepat," perintah Tok Aji.
Usuh meminta Latih, Akop dan Lias menolak sedikit punggung kerbau supaya lehernya mengadap ke arah Kiblat. Serba-salah salah juga mereka hendak memegang punggung kerbau tersebut. Tetapi Tok Aji menyergah mereka supaya bertindak cepat. Tok Aji memberi jaminan kerbau itu tidak akan menyerbu lagi. Tetapi jika terlambat disembelih, kerbau itu akan mati sia-sia.
Cepat-cepat Simek membantu memegang leher kerbau itu untuk memudahkan Usuh menyorong mata parang. Memanglah susah menyembelih kerbau yang berdiri tegak kerana mata parang terpaksa dihalakan ke atas. Kalau dapat direbahkan, tentulah tidak menjadi masalah.
Setelah Usuh selesai menyembelih, barulah Tok Aji terkial-kial berdiri. Kemudian Tok Aji menolak punggung kerbau itu sehingga haiwan itu jatuh tergolek. Mudah sahaja Tok Aji menjatuhkan kerbau itu dengan sekali tolak.
"Bang Aji tak luka?" Soal Simek mendekati Tok Aji.
Tok Aji tidak menjawab. Sebaliknya dia memarahi saya. "Tok dah cakap jangan ikut, Angah degil juga!" ujarnya bagaikan kesal kerana saya degil mahu mengikutnya ke situ.
Saya tunduk mendiamkan diri. Tetapi saya merasa tidak ada apa-apa yang hendak dikesalkan kerana semuanya selamat. Saya sendiri tidak cedera. Begitu juga dengan Tok Aji
Kemudian mereka menguliti kerbau yang sudah mati disembelih itu. Tok Aji tidak membantu mereka. Dia hanya duduk di perdu pokok kelapa sambil menghisap cerutnya. Ketika Akop melapah bahagian dada untuk mengeluarkan hati, dia terkejut kerana hati kerbau itu cair laksana tauhu yang sudah diramas.
"Hatinya tak ada Bang Aji..." ujar Akob kehairanan.
"Ah, syukurlah Kob, tak dapat hati pun tak apa," sahut Tok Aji.
Mereka semua terdiam mendengar jawapan Tok Aji. Mereka menduga, mungkin sebab itulah kerbau itu tegak tidak bergerak semasa Tok Aji memegang perutnya tadi. Mungkin sebab itulah Tok Aji menggesa supaya kerbau itu segera disembelih sebelum ianya mati tidak berguna.
Tok Aji tidaklah menunggu sampai kerbau itu habis dilapah. Usuh yang akan membawanya ke tengah kampung untuk dijual. Sudah tentu orang kampung yang memesan hati kerbau akan kehairanan mengapa hati kerbau itu hancur.
Akob merasa serba-salah kerana dia yang menerima pesanan hati selain daging.
"Katakan aje kerbau ni tak ada hati," ujar Tok Aji bergurau sebelum mengajak saya balik.
Malam itu Tok Aji tidak ke surau menunaikan solat Terawih. Dia melakukan sendirian sahaja di rumah. Dia memberitahu nenek badannya sakit-sakit selepas ditanduk oleh kerbau liar yang mengamuk.
Dua hari Tok Aji demam tidak sihat badan. Semasa ayah dan emak saya datang berkunjung pada hari raya ke rumahnya, Tok Aji masih demam. Dia juga tidak ke masjid menunaikan solat sunat hari raya. Selama dua hari itu juga Tok Aji tidak mengajar kanak-kanak mengaji Quran. Dia hanya menugaskan nenek menggantikannya mengajar budak-budak yang datang belajar mengaji.
Saya melihat ayah mendoakan Tok Aji. Ayah menghembus tapak tangannya tiga kali dan mengusap-usapkan tangannya ke seluruh tubuh Tok Aji. Dia melakukan tiga kali ulang. Walaupun Tok Aji memberitahu tubuhnya sengal-sengal, tetapi wajahnya tidak menunjukkan yang dia sedang menanggung kesakitan.
Sedutan dari buku Berkelahi Dengan Syaitan Siri Ke-4 karya Tok Awang Ngah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.