Mekah pada tahun 1910 |
Kira-kira lebih 2,000 tahun yang lalu, Ibrahim telah meninggalkan Hajar, isterinya dan Ismail, anaknya di suatu lembah yang tidak bernama dan tidak berpenghuni. Bagaimanapun, Ibrahim tidak pernah lupa akan isteri dan anak yang ditinggalkannya itu.
Beberapa tahun selepas perpisahan itu, perasaan rindu Ibrahim terhadap isteri dan anaknya semakin mendalam. Maka berangkatlah Ibrahim untuk menziarahi anak dan isterinya yang telah lama ditinggalkan.
Setelah tiba di tempat dia meninggalkan anak dan isterinya dahulu, Ibrahim mendapati keadaan di tempat itu sudah berubah kerana sudah ramai orang tinggal di situ. Tempat itu juga sudah diberi nama Bakkah atau Mekah sekarang ini.
Tapi Ibrahim tidak melihat isteri dan anaknya. Namun dia mendengar khabar daripada penduduk di situ bahawa isteri dan anaknya adalah pemilik kepada telaga Zamzam yang menjadi sumber bekalan air di tempat itu.
Mata air di dalam Telaga Zamzam. |
Lalu Ibrahim bertanya, di manakah gerangan anak dan isterinya pada ketika itu. Maka seorang penduduk telah menunjukkan kepada Ibrahim di mana kedua beranak itu berada, iaitu di suatu kawasan lapang, dan mereka sedang mengembala ternakan kambing.
Akhirnya, bertemulah Ibrahim dengan isteri dan anak yang sekian lama sangat dirinduinya, dalam keadaan sihat dan gembira. Lalu mereka sama-sama mengucapkan "Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, wa Lillahil Hamdu."
Tempat pertemuan mereka itu kini dikenali sebagai Padang Arafah.
Pemandangan di Padang Arafah pada musim haji. |
Setelah matahari terbenam, Ibrahim bersama Isteri dan anaknya Ismail berangkat pulang ke Mekah. Dalam perjalanan pulang itu, mereka berhenti rehat di suatu tempat. Bagaimanapun, kerana keletihan, mereka semuanya tertidur.
Dalam tidurnya, Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkannya menyembelih anaknya, Ismail sebagai korban.
Apabila Ibrahim terbangun, dia membisikkan mimpinya itu kepada anaknya, "Hai anakku, aku bermimpi diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihmu, bagaimanakah pendapatmu?"
Ismail segera menjawab, "Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah itu dan aku tetap tabah, insya-Allah."
Tempat mereka tertidur keletihan dan tempat Ibrahim bermimpi menerima perintah supaya menyembelih anaknya itu kini dikenali sebagai Muzdalifah.
Bermalam di Muzdalifah. |
Kedua beranak hendak melaksanakan perintah Allah itu dengan segera. Lalu mereka pergi ke tempat lain supaya Hajar tidak tahu dan tidak merasa sedih.
Namun di tengah perjalanan, kedua beranak itu terjumpa dengan seorang manusia. Orang itu bertanya, ke mana mereka hendak pergi dan apa tujuannya.
Bagaimanapun, selepas Ibrahim menerangkan tujuan mereka, orang itu melarang Ibrahim menyembelih Ismail dengan berbagai-bagai alasan. Ibrahim dan Ismail perasan orang itu adalah jelmaan Iblis.
Lalu Ibrahim dan Ismail melontar Iblis itu dengan batu sampai mati. Tempat berlakunya peristiwa itu sekarang dikenali sebagai Jamratul-Ula.
Selepas itu, kedua beranak meneruskan semula perjalanan mereka. Namun, setelah berjalan kira-kira 400 meter, mereka bertemu lagi dengan seorang manusia yang lain. Sama seperti sebelumnya, orang berkenaan juga melarang Ibrahim menyembelih Ismail dengan berbagai-bagai alasan.
Ibrahim dan Ismail melontar manusia jelmaan Iblis itu dengan batu. Tempat mereka melontar Iblis itu sekarang dikenali sebagai Jamratul-'Aqaba.
Jamratul-Aqabah, Mina pada tahun 1920. |
Selepas itu, kedua beranak meneruskan lagi perjalanan mereka. Sekali lagi selepas berjalan kira-kira 400 meter dari tempat sebelumnya, mereka berjumpa dengan seorang lagi manusia. Namun, orang ini juga melarang Ibrahim menyembelih Ismail.
Lalu, manusia jelmaan Iblis ini dilontar dengan batu oleh Ibrahim dan Ismail. Tempat peristiwa ini berlaku sekarang dikenali sebagai Jamratul-Wusta.
Akhirnya, kedua beranak sampai di kaki sebuah bukit. Ibrahim lalu mengeluarkan pedangnya. Ismail memohon supaya ayahnya mengasah tajam pedang itu, selain meminta kedua tangan dan kakinya diikat, dan bajunya dibuka untuk menutupi mukanya. Ismail berpesan supaya bajunya itu diserahkan kepada ibunya, sebagai tanda mata.
Namun, ketika pedang Ibrahim hampir mencecah ke leher Ismail, Ibrahim mendengar suara memanggil namanya dari puncak bukit, "Hai Ibrahim, sungguh engkau hendak melaksanakan perintah Tuhan dalam mimpimu, maka kami membalasi kamu setimpal dengan ketaatanmu."
Apabila Ibrahim memandang ke arah suara itu, dia melihat malaikat turun ke bawah dengan membawa seekor kibas yang gemuk dan sihat.
Malaikat itu berkata, "Hai Ibrahim, sembelihlah kibas ini sebagai ganti anakmu Ismail dan makanlah dagingnya, serta jadikanlah hari ini sebagai hari raya bagi kamu berdua, dan sedekahkanlah sebahagian dagingnya kepada fakir miskin sebagai korban."
Tempat peristiwa itu berlaku kini dikenali sebagai Bukit Malaikat yang terletak di kawasan Mina. Ibrahim dan Ismail yang dimaksudkan dalam cerita di atas ialah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Sumber: buku Rangkaian Cerita Dalam al-Quran tulisan Bey Arifin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.