|
Pekan Tamparuli: Seorang lelaki tergamak memukul neneknya dengan kayu beluti di kepala hingga mati. Foto: Wikimedia |
|
Hospital Tuaran: Mangsa Lotia Moginas, 68, disahkan meninggal dunia kelmarin. Foto: Wikimedia |
TUARAN - Akibat pengaruh alkohol, seorang lelaki tergamak memukul neneknya dengan kayu beluti di kepala hingga mati dalam kejadian di tepi jalan Kampung Bundu Gulu Rungus, Tamparuli dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Lotia Moginas, 68, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuaran pada jam 6.30 petang akibat parah di kepala dan belakang badan selepas dipukul menggunakan kayu oleh cucunya.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan menjenguk anaknya berhampiran rumahnya sebelum terserempak dengan cucunya yang tidak sedarkan diri dipercayai akibat pengaruh minuman keras.
“Suspek dalam keadaan mabuk dipercayai terus memukul neneknya menggunakan kayu sepanjang setengah meter.
“Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala dan belakang badan. Selepas memukul neneknya, suspek dikatakan baru tersedar lalu menangis sebelum menghubungi ibunya tanpa memaklumkan dia memukul neneknya.
“Ibu suspek yang juga menantu mangsa kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat anaknya dalam keadaan mabuk manakala ibu mentuanya cedera parah sebelum menghantar mangsa ke Hospital Tuaran untuk rawatan,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, selepas kejadian itu, ahli keluarga mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis.
“Pada jam 6.30 petang, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan belakang badan.
“Suspek yang juga cucu mangsa dikatakan tidak sedar ketika melakukan perkara itu dan menyesal dengan perbuatannya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malik berkata, sebaik dimaklumkan kejadian itu, polis kemudian menahan suspek berhampiran tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu akibat di bawah pengaruh alkohol.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis turut merampas kayu beluti dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.