Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 4 Februari 2014

Kebas 1.5 Juta Wang Mahkamah

Seorang kerani wanita di kaunter bayaran di Mahkamah Rendah Ipoh, menggelapkan lebih RM1.5 juta wang denda. Foto: Panoramio

Wanita itu mengambil antara RM1,000 hingga RM2,000 setiap hari sejak 2012 hingga September tahun lalu (gambar hiasan)


IPOH - Tindakan licik seorang kerani wanita yang bekerja di kaunter bayaran di Mahkamah Rendah Ipoh, di sini, menggelapkan lebih RM1.5 juta wang denda dibayar pesalah salah laku dan kesalahan kecil kepada mahkamah sepanjang tempoh 18 bulan, akhirnya terbongkar selepas rekod audit pada hujung tahun lalu mendapati berlaku penyelewengan. 
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan pada Oktober tahun lalu dan sehubungan itu, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. 
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan sudah lengkap dan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan. 
Difahamkan, wanita terbabit yang berusia 30-an, mengambil antara RM1,000 hingga RM2,000 setiap hari sejak 2012 hingga September tahun lalu dan kegiatan pecah amanahnya itu hanya terbongkar selepas juruaudit melakukan audit terhadap rekod mahkamah berkenaan. 
Suspek juga dikatakan, menggunakan ‘kelemahan’ dalam sistem untuk membuat penyesuaian yang perlu dalam pangkalan data komputer mahkamah supaya jumlah yang digelapkan tidak kelihatan dalam akaun. 
Acryl Sani berkata, dalam menjalankan siasatan, pihaknya juga sudah mengambil dan merakamkan keterangan daripada suspek. 
“Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan dan sudah pasti mereka (Timbalan Pendakwa Raya) memerlukan masa untuk menilai serta meneliti kes berkenaan. 
“Harap semua pihak bertenang, kerana pasti akhirnya undang-undang akan menghukum mana-mana penjenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.