Oleh NURUL IZZA ROSLY
SAKIT pada belakang badan merupakan sakit yang kerap berlaku pada setiap orang dewasa. Lazimnya, seseorang itu akan mengalami episod kesakitan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Namun, ramai dalam kalangan kita mengambil ringan terhadap sakit belakang. Walaupun kebanyakan sakit belakang tidak mengundang bahaya atau membawa maut, ia wajar mendapat perhatian yang teliti sekiranya berterusan.
Antara penyebab sakit belakang yang sering berlaku ialah slipped disc atau cakera tergelincir. Ia boleh terjadi pada mana-mana kedudukan antara 33 vertebra yang membentuk tulang belakang.
“Cakera sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian luarnya yang seperti getah dan dipanggil anulus fibrosus manakala bahagian tengah seperti gel pula dipanggil nukleus pulposus,” ujar Pakar Ortopedik, Trauma dan Pembedahan Tulang, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Joseph Yap Chong Kiat.
Cakera tergelincir sebenarnya merujuk pada keretakan dan koyakan pada bahagian anulus. Ia menyebabkan nukleus tertolak ke dalam keretakan atau koyakan itu lalu menyebabkan cakera membonjol.
Kebanyakan kes cakera tergelincir terjadi disebabkan kecederaan akibat hentakan akibat terjatuh atau mengangkat beban yang berat.
“Ia juga boleh berlaku akibat kecederaan ringan yang berterusan yang dipanggil RSI (repetitive stress injury).
“Contohnya, duduk atau memandu dalam kereta berterusan selama berjam-jam. Dalam keadaan sebegitu, tekanan boleh berlaku pada cakera. Ia menyebabkan ketegangan yang seterusnya mengakibatkan anulus koyak sedikit,” terangnya.
|
Rawatan fisioterapi merupakan rawatan awal bagi melegakan kesakitan pada pesakit. |
Tambahnya, kesakitan yang dialami boleh berlarutan sehingga beberapa jam, berhari-hari atau berlanjutan sehingga beberapa bulan.
Menurut Joseph, tulang cakera merupakan satu fibrocartilage (rawan berserat) yang berada di antara vertebra tulang belakang.
Cakera tersebut membantu memberikan sokongan kepada badan, menolong menahan berat badan serta berfungsi untuk mengurangkan geseran di antara vertebra.
“Apabila menyentuh soal slipped disc, ramai yang beranggapan bahawa perkataan slipped yang digunakan itu memberikan maksud cakera tersebut teranjak dari tempatnya.
“Sebenarnya, itu tidak berlaku kerana cakera itu sudah tetap kedudukannya pada tulang belakang.
“Apabila cakera itu membonjol ke belakang, mungkin dalam hasil imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) menunjukkan seperti bentuk yang berselisih. Mungkin kerana itu, orang fikir cakera itu teranjak dari kedudukannya, sebenarnya ia bonjol dan bengkak.
Katanya, secara am, cakera gelincir atau PID (Prolapsed Intervertebral Disc) lazim berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita dan berlaku ke atas orang dewasa berusia 30 hingga 50 tahun.
Mereka yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun atau 70 hingga 80 tahun mengalami kesakitan bahagian belakang, kebanyakannya bukan PID.
Sungguhpun begitu, katanya, jangan sekali-kali memandang ringan jika kanak-kanak mengalami masalah sakit belakang kerana sesuatu yang serius mungkin berlaku.
|
Keratan rentas tulang belakang yang menunjukkan cakera yang normal (kiri) dan cakera yang mengalami hernia (kanan). |
Masalah ini jarang dilihat dalam kalangan golongan tua kerana bahagian nukleus seperti gel sudah menjadi semakin kering apabila seseorang itu berusia melebihi 50 tahun.
“Ia tidak dapat menyerap hentakan atau mengalir keluar seperti yang terjadi kepada golongan dewasa yang lebih muda,” katanya sambil memberitahu jika sakit belakang berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, ia mungkin disebabkan oleh masalah lain seperti kemerosotan tulang, osteoporosis, spondilolistesis atau barah tulang.
Ujar Joseph, berat badan berlebihan juga merupakan faktor risiko yang menambahkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan pada cakera selain jenis pekerjaan dan kegiatan sukan lasak.
Joseph menerangkan, jika kesakitan yang dialami seseorang itu melebihi seminggu dan tidak hilang apabila menjalani rawatan biasa seperti makan ubat dan berehat, seseorang itu disarankan untuk berjumpa doktor.
“Biasanya, doktor akan menjalankan diagnosis berdasarkan sejarah pesakit dengan mengambil kira faktor usia, rekod kecederaan akibat terjatuh atau mengangkat benda berat. Doktor juga perlu mengetahui bahagian yang sakit dan kebarangkalian kesakitan tersebut berpindah ke punggung, paha atau ke kaki sepenuhnya.
“Ia memberikan gambaran kepada doktor dan daripada situ doktor akan melakukan beberapa ujian ringkas ke atas pesakit seperti SLR (straight leg raising),” ujarnya.
Ujian SLR dilakukan dengan mengangkat kaki pesakit tanpa membengkokkan lutut. Jika rasa sakit seseorang pesakit itu bertambah, ia menunjukkan berlaku tekanan pada saraf tulang belakang.
Secara am, 90 peratus sakit belakang boleh dirawat secara konservatif, iaitu dengan ubat dan fisioterapi tanpa sebarang prosedur invasif yang memerlukan suntikan dan pembedahan.
Joseph memberitahu, doktor sentiasa cuba untuk memberikan ubat dan rawatan fisioterapi terlebih dahulu bagi melegakan kesakitan yang dialami pesakit. Pada masa yang sama memantau perkembangan mereka.
|
Perbezaan cakera normal dengan cakera yang mengalami bonjolan dan bengkak yang seterusnya menekan pada saraf mengakibatkan kesakitan. |
“Jika kesakitan berlarutan melebihi enam minggu walaupun diberikan rawatan, maka prosedur invasif dilakukan. Namun, kadang kala rawatan invasif perlu lebih awal sekiranya kesakitan keterlaluan.
“Walaupun kita sudah mengeluarkan bonjolan cakera yang menekan saraf, cakera tersebut tidak seperti cakera normal dan dianggap sedikit lemah berbanding disc yang lain,” jelasnya sambil memberitahu senaman boleh mengelakkan cakera tergelincir daripada berlaku kerana berat badan ditampung oleh otot dan tulang.
Senaman yang betul boleh membuatkan otot belakang menjadi kuat dan mereka yang selalu bersenam kurang mengalami masalah tersebut.
Walau apapun, Joseph menasihatkan orang ramai yang mengalami sakit belakang yang berterusan agar merujuk kepada doktor.
“Kita pasti tidak mahu terlepas pandang sesuatu yang mungkin berbahaya seperti jangkitan kuman pada tulang belakang, barah tulang atau sakit buah pinggang.
“Bukan semua sakit belakang disebabkan masalah pada tulang. Kita perlu tahu puncanya lebih-lebih lagi apabila berlaku simptom-simptom sistemik seperti penurunan berat badan, kurang selera makan, sentiasa letih dan demam. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.