|
Abdiaziz. Foto: Kosmo! |
MOGADISHU - Seorang wanita yang mendakwa dia telah dirogol oleh askar-askar Somalia dihukum penjara selama setahun oleh Hakim Ahmed Adan di sebuah mahkamah di sini, semalam.
Seorang wartawan yang melaporkan kisah tersebut, Abdiaziz Abdinuur Ibrahim turut dihukum penjara selama setahun.
Pemerintah Somalia sebelum ini menyatakan wanita itu sengaja membuat cerita dia dirogol.
Pihak pendakwa raya menyatakan, bukti-bukti perubatan menunjukkan wanita tersebut tidak dirogol.
Namun, tertuduh dibenarkan menjalani tahanan di rumah sebagai ganti hukuman penjara kerana dia terpaksa menjaga seorang anaknya yang masih kecil.
Peguam-peguam wanita dan wartawan itu menyatakan, mereka akan membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.
Hukuman itu mencetuskan kemarahan sebuah pertubuhan hak asasi manusia.
"Pemerintah baharu Somalia berfikir mereka akan dapat menutup keganasan seksual oleh pasukan keselamatan dengan menghukum wanita yang membuat aduan rogol dan wartawan yang melaporkannya," kata beberapa penyelidik pertubuhan Human Rights Watch.
"Polis Somalia bukan sahaja tidak melakukan siasatan tetapi menggunakan tenaga mereka untuk memalukan wanita tersebut dengan mendakwa dia dan wartawan itu berkomplot untuk menjatuhkan imej pemerintah bagi mendapatkan keuntungan," kata pertubuhan itu.
Pemerintah Somalia yang disokong masyarakat antarabangsa mula menguasai pemerintahan di negara ini sejak September tahun lalu memberitahu, pihaknya tidak campur tangan dalam proses kehakiman tersebut. - dpa / Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.