|
Muka depan Sinar Harian Edisi Selangor 2 Februari 2013 |
MARAN - Seorang warga emas ditemui mati di depan bilik air di rumahnya di Felda Ulu Jempol dekat sini dengan hampir keseluruhan badannya rentung kecuali bahagian kakinya.
Kematiannya itu menimbulkan misteri kerana siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.
Ini kerana tiada kesan pergelutan atau tanda-tanda rumah mangsa dipecah masuk oleh penjenayah.
Malah, polis turut menafikan punca kebakaran itu adalah disebabkan terkena kejutan elektrik.
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa berusia 72 tahun yang tinggal sendirian itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak kira-kira jam 9 pagi, semalam.
Menurutnya, pekerja berusia 20-an itu melakukan kerja ubahsuai rumah mangsa dan hanya mahu menghantar bahan binaan memandangkan cuti kerja pada hari kejadian.
“Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan terlentang di hadapan pintu bilik air dan rentung termasuk pakaian kecuali dari bahagian pergelangan kaki.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang motif dan petanda kepada unsur jenayah malah barang kemas berupa gelang serta rantai masih berada bersama mayat tersebut.
“Tiada kesan bongkar di dalam rumah dan pecah masuk termasuk di bilik tidur serta tiada tanda pergelutan di kawasan mayat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.
Sulaiman berkata, hanya langsir pintu bilik air di tempat mayat dijumpai sahaja yang terbakar sementara peralatan dan perkakas dapur lain tiada kesan terbakar.
Menurutnya, selain pasukan Forensik PDRM, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta khidmat Unit Anjing Pengesan K9 bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat terbakar yang dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam pada hari kejadian berikutan lampu dapur dan televisyen masih terpasang,” katanya.
Apabila ditanya mengenai fenomena spontaneous human combustion (SHC) iaitu manusia terbakar tiba-tiba, beliau memaklumkan bahawa fenomena itu turut diambil kira dalam siasatan. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.