|
Jangan biarkan rumah kosong terlalu lama (hiasan). Foto: hani-dex.blogspot.com |
|
Din (dua, kiri) menunjukkan sebahagian kabel elektrik yang telah dipotong dan dipercayai untuk dijual. Foto: Sinar Harian |
BATU PAHAT – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan terdiri daripada lima lelaki yang melakukan kegiatan curi kabel elektrik di sekitar Senggarang, Rengit dan Ayer Hitam.
Berlagak umpama kontraktor elektrik dan ada kalanya seperti pencari barangan lusuh sebagai modus operandi mereka, kumpulan itu menjadikan rumah kosong sebagai sasaran.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kumpulan itu aktif melakukan jenayah curi kabel untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah.
Menurutnya, setelah mengenal pasti sasaran, kumpulan terbabit bertindak memotong kabel yang berada di rumah kosong dan kemudiannya menjual di beberapa pusat barangan lusuh di daerah ini.
“Lima individu itu berumur sekitar 20 hingga 32 tahun akhirnya tumpas setelah kegiatan mereka diperhatikan oleh orang awam yang kemudiannya membuat laporan polis.
“Kumpulan ini ditahan sepasukan polis di Senggarang dan turut ditemui bersama mereka adalah dua guni yang dipenuhi dengan kabel elektrik yang telah dipotong dipercayai baru dicuri. Polis percaya kabel elektrik yang telah dicuri itu tidak akan disimpan lama kerana mereka akan terus menjualnya apabila memperolehinya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Din berkata, dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis dapat menyelesaikan lapan kes curi kabel elektrik berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh ahli kumpulan terbabit.
"Lapan kes berkenaan melibatkan lima kes di Senggarang, dua kes di Ayer Hitam dan satu kes di Rengit.
"Kesemua suspek yang ditahan melakukan kegiatan haram itu secara bersama.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 431 (a) Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, mereka ini akan dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan boleh dikenakan denda.
“Pasukan polis amat menghargai maklumat yang diberikan oleh orang awam untuk bersama menangani jenayah. Jika orang ramai terlihat sesuatu yang mencurigakan, mereka boleh segera menghubungi balai polis yang berhampiran,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.