|
Kawasan hadapan kedai yang kotor. Foto: Sinar Harian |
|
Sebuah restoran milik warga Myanmar. Foto: Sinar Harian |
KUALA LUMPUR - Kebanjiran warga Myanmar di Pusat Bandar Utara nyata makin membimbangkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada warga tempatan.
Kawasan yang juga digelar Perkampungan Myanmar itu turut dipenuhi pelbagai kemudahan seperti kedai makan, surau dan pasar raya.
Malahan, hampir kesemua penempatan jenis rumah kedai diduduki oleh warga asing itu.
Seorang pesara, Abdul Aziz Abu berkata, dia menetap di Selayang selama 40 tahun dan dapat melihat tren perkembangan kemasukan warga Myanmar dalam Malaysia.
“Dahulu jumlahnya boleh dikira dan terkawal namun kini semakin membimbangkan malahan semakin berani menjalankan urus niaga sedangkan kemasukan mereka atas dasar perlindungan politik.
“Dalang yang bertanggungjawab membawa masuk warga ini diharap dapat dikenal pasti sehingga menjadi lambakan di bahagian pasar borong dan sekitarnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia bimbang sekiranya permasalahan itu berterusan akan menjadi ancaman kepada warga tempatan.
Sementara itu, seorang lagi orang awam, Nor Hazura Hosaimi berkata, permasalahan lambakan warga itu di kawasan tersebut menimbulkan masalah kebersihan persekitaran.
“Dapat dilihat meskipun Alam Flora menjalankan kerja pembersihan setiap hari namun kebersihan sekitar tetap tidak memuaskan.
“Hal ini disebabkan mereka (warga asing) tidak dapat menerima budaya Malaysia dan menjadikan kawasan itu seperti penempatan mereka,” katanya.
Dia berharap, pihak berkaitan seperti Imigresen dan pihak berkuasa tempatan dapat menangani permasalahan itu secara bijak kerana lambakan warga asing semakin meruncing. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.